Kerajaan Pertimbang Perkenal ‘Tiket MADANI’ F1 GP Bahrain Di Sepang

SEREMBAN: Kerajaan sedang meneliti cadangan memperkenalkan ‘Tiket MADANI’ bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, Oktober ini, bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati acara sukan permotoran berprestij itu pada harga lebih mampu milik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memahami rungutan orang ramai mengenai harga tiket F1 yang dianggap tinggi meskipun sambutan terhadap perlumbaan itu amat menggalakkan dalam kalangan rakyat tempatan.

Menurutnya, cadangan mewujudkan Tiket MADANI sedang dipertimbangkan sebagai usaha memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia itu.

“Ramai sudah membeli tiket. Memang ada yang mengadu harga tiket mahal, tetapi ini acara antarabangsa.

“Ada yang bertanya kepada saya, ‘PM, ada tak Tiket MADANI? Tiket paling murah pun RM200, bagilah Tiket MADANI.’

“Insya-Allah kita pertimbangkan, tetapi jangan pula hendak tempat duduk paling depan. Kalau beli Tiket MADANI, jangan minta duduk depan sangat,” katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Malaysia sebelum ini disahkan menjadi tuan rumah perlumbaan F1 GP Bahrain Gulf Air 2026 di Sepang selepas perlumbaan asal yang dijadualkan berlangsung di Bahrain ditangguhkan berikutan ketegangan konflik di Asia Barat.

Pada majlis sama, Anwar turut memaklumkan bahawa 90 peratus daripada 394 JPKK di Negeri Sembilan telah menerima manfaat menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dengan jumlah peruntukan mencecah RM34.12 juta.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir Negeri Sembilan supaya agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.

Anwar berkata, peranan JPKK amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat kerana mereka lebih memahami keperluan sebenar penduduk di peringkat akar umbi.

Beliau turut mengingatkan bahawa konsep itu telah diasaskan sejak era Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang menekankan kepentingan kepimpinan kampung dalam menyampaikan maklum balas rakyat kepada kerajaan.

“Saya berharap semua pengerusi JPKK terus menjalankan amanah dengan sebaiknya demi memastikan kemenangan yang baik dan usaha membantu rakyat dapat diteruskan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles