SEPANG: Kepulangan perlumbaan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air pada Oktober ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam sektor pelancongan, pelaburan dan promosi antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu bakal meningkatkan profil Malaysia di pentas dunia selain memanfaatkan kemudahan bertaraf antarabangsa yang dimiliki SIC.
Beliau menjelaskan, kerajaan tidak menanggung kos penganjuran kerana semua perbelanjaan dibiayai oleh Bahrain, namun Malaysia tetap akan menikmati pulangan ekonomi hasil kehadiran pelancong asing serta liputan meluas daripada media antarabangsa.
“Acara ini akan disaksikan jutaan peminat di seluruh dunia dan memberi publisiti yang amat besar kepada negara. Selain menarik pelancong, ia turut membuka peluang kepada lebih banyak pelaburan serta penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
“SIC memiliki fasiliti bertaraf dunia, namun sebelum ini penggunaannya lebih tertumpu kepada MotoGP. F1 mampu menghidupkan semula potensi litar ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 di Sepang.
Sebelum ini, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir dan kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Perlumbaan itu dijadual berlangsung di antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar Formula Satu musim ini.
Dalam perkembangan sama, Zahid menyifatkan penganjuran GP Bahrain sebagai peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan Malaysia menjadi destinasi perlumbaan Formula Satu sekali lagi pada masa hadapan.
Beliau berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khas dengan sokongan sektor swasta melalui penajaan bagi merealisasikan hasrat membawa semula F1 sebagai acara tetap di Sepang.
Menurutnya, model pembiayaan MotoGP yang menggabungkan peruntukan kerajaan, penajaan korporat dan kerjasama strategik pelbagai pihak boleh dijadikan contoh bagi memastikan penganjuran Formula Satu dapat dilaksanakan secara mampan pada masa akan datang.










