Trump Umum Tarif Baharu Hingga 12.5%, Malaysia Antara Negara Terkesan Mulai Jumaat

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif import baharu antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas barangan dari 60 rakan dagang termasuk Malaysia, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan China, berkuat kuasa mulai Jumaat.

Langkah itu dilaksanakan atas alasan negara terbabit didakwa gagal menguatkuasakan larangan terhadap penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan masing-masing, sekali gus menggantikan tarif sementara global sebanyak 10 peratus yang tamat pada Jumaat.

Tarif baharu itu diperkenalkan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, selepas Mahkamah Agung AS pada Februari lalu membatalkan tarif timbal balik yang pernah diperkenalkan Trump menerusi undang-undang darurat negara.

Menurut notis yang disiarkan dalam Daftar Persekutuan, tarif berkenaan meliputi 99.4 peratus import ke AS, namun beberapa kategori seperti minyak dan gas, baja, makanan tertentu serta produk yang sudah dikenakan tarif keselamatan negara dikecualikan.

Malaysia disenaraikan bersama Argentina, Bangladesh, Britain, Kanada, India, Indonesia, Mexico dan Pakistan sebagai antara negara yang dikenakan tarif import 10 peratus.

Sementara itu, EU, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland akan dikenakan kadar keseluruhan antara 10 hingga 12.5 peratus apabila digabungkan dengan tarif sedia ada, manakala 38 negara lain termasuk China dikenakan tarif 12.5 peratus.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, Washington telah lama menguatkuasakan larangan import membabitkan buruh paksa dan kini mahu rakan dagangnya mengambil pendekatan sama.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja bertujuan melindungi hak asasi manusia, malah memastikan persaingan perdagangan yang lebih adil di peringkat global.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai pentadbiran Trump memaklumkan bahawa tarif terhadap barangan China dijangka kembali kepada kadar 20 peratus seperti dipersetujui dalam gencatan perdagangan antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping, pada November tahun lalu.

Pengumuman tersebut bagaimanapun menerima bantahan beberapa negara termasuk Norway, Australia dan Brazil yang menyifatkan tarif itu tidak berasas, manakala Kanada memilih meneruskan rundingan dengan Washington bagi mencari penyelesaian.

Pakar perdagangan pula berpandangan penggunaan Seksyen 301 memberi kedudukan undang-undang yang lebih kukuh kepada pentadbiran Trump, sekali gus menjadikan tarif baharu itu lebih sukar dicabar di mahkamah berbanding dasar terdahulu.

BBerkaitan

Latest articles