Mat Sabu Hadir Ke Iran Wakili Malaysia Ke Pengebumian Ali Khamenei

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mewakili Malaysia menghadiri upacara pengebumian bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, yang berlangsung di Tehran esok.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi dialog santai sempena Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 hari ini.

Menurut Anwar, beliau sebenarnya menerima jemputan untuk menghadiri upacara berkenaan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana mempunyai komitmen rasmi yang telah dijadualkan lebih awal.

“Bagi upacara pengebumian Khamenei di Tehran esok, kita akan menghantar Menteri Pertanian untuk mewakili negara,” katanya.

Ali Khamenei, 86, yang menerajui Iran selama hampir 37 tahun, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu.

Susulan itu, kepimpinan negara berkenaan diambil alih oleh anaknya, Mojtaba Khamenei.

Majlis pengebumian yang tertangguh lebih empat bulan itu dijadual berlangsung dari 3 hingga 9 Julai di tiga lokasi utama iaitu Tehran, Qom dan Mashhad.

Acara kemuncak melibatkan kehadiran kenamaan asing akan diadakan di Tehran esok, dengan pihak berkuasa Iran memaklumkan bahawa wakil daripada lebih 30 negara dijangka hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas pemimpin republik Islam tersebut.

BBerkaitan

Latest articles