Ikut Navigasi, 5 Warga China Cedera Kereta Terjunam Ke Tapak Pembinaan Culvert

KUALA LUMPUR: Lima warga China cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam tapak pembinaan culvert sedalam kira-kira tujuh meter di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 malam ketika sebuah Toyota Prius dipandu lelaki warga China berusia 66 tahun dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai menggunakan aplikasi navigasi sebagai panduan sebelum kenderaan itu tersasar lalu memasuki kawasan projek pembinaan culvert.

“Akibatnya, kereta berkenaan terbabas dan terjatuh ke dalam tapak pembinaan sedalam kira-kira tujuh meter.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 12.01 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu, Azuhar mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan dengan memberi perhatian kepada papan tanda amaran, kon keselamatan serta penghadang jalan yang disediakan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi ketika memandu, sebaliknya sentiasa peka terhadap keadaan jalan dan arahan keselamatan di lokasi.

BBerkaitan

Latest articles