Pempengaruh Dikecam Didakwa ‘Live’ Piala Dunia Di TikTok, Netizen Gesa RTM Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh media sosial menjadi sasaran kecaman warga maya selepas didakwa menyiarkan secara langsung perlawanan Piala Dunia 2026 menerusi platform TikTok tanpa kebenaran.

Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @Amirrizal yang mendakwa pempengaruh berkenaan, yang memiliki kira-kira 1.9 juta pengikut, membuat siaran langsung perlawanan membabitkan Ivory Coast dan Norway sejak awal pagi.

Menurut dakwaan itu, siaran berkenaan menarik lebih 15,000 tontonan selain menerima lebih 5,000 perkongsian dan sekitar 1.7 juta tanda suka.

Pengguna sama turut mendakwa pempengaruh terbabit sebelum ini pernah menyiarkan secara langsung aksi Jerman menentang Paraguay, dengan jumlah tontonan dilaporkan mencecah 503,000.

Beliau mempersoalkan tindakan berkenaan memandangkan hak penyiaran Piala Dunia di Malaysia telah diperoleh oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk tontonan rakyat negara ini.

“RTM beli hak siaran untuk rakyat Malaysia, tetapi dia pula membuat siaran langsung di TikTok untuk tontonan seluruh dunia semata-mata mengejar jumlah tontonan. Jangan sampai dikenakan saman oleh FIFA atau RTM,” katanya.

Hantaran itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap pempengaruh berkenaan sekiranya benar berlaku pelanggaran hak penyiaran.

Seorang pengguna, @Tzaelily, menyifatkan tindakan tersebut sebagai mengambil kesempatan terhadap kandungan yang mempunyai hak penyiaran eksklusif.

Sementara itu, @Wafty.ali menggesa orang ramai melaporkan akaun TikTok pempengaruh berkenaan, manakala @Mirzaaiman98 berpendapat RTM dan FIFA wajar mengambil tindakan undang-undang jika siaran itu dibuat secara haram.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh RTM mahupun pihak pempengaruh berhubung dakwaan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles