KUALA LUMPUR: Empat daripada enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor yang dikaitkan dengan kes buli terhadap seorang pelajar junior telah disingkirkan daripada institusi berkenaan, manakala dua lagi digantung persekolahan sementara menunggu hasil siasatan polis.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM mengadakan mesyuarat khas pada semalam bagi meneliti kes berkenaan.
Menurut beliau, dua lagi pelajar yang belum disingkirkan akan terus digantung sehingga polis mengesahkan sama ada mereka turut melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa.
“Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi selepas JDM MRSM bersidang dan membuat keputusan berhubung kes buli ini.
“Namun, amaran sudah berkali-kali diberikan. #YouTouchYouGo,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menjelaskan siasatan turut dijalankan terhadap beberapa pelajar junior yang didakwa membawa barangan terlarang ke sekolah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pelajar junior tidak boleh dijadikan alasan untuk pelajar lain mengambil tindakan sendiri dengan membuli atau menghukum mereka.
“Apa juga kesalahan yang dibuat oleh junior tidak sesekali menghalalkan perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri terhadap pelajar terbabit,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendidikan Menengah MARA serta Jawatankuasa Disiplin Maktab yang bertindak pantas menjalankan siasatan dan mengadakan mesyuarat dalam tempoh kurang 24 jam seperti yang diarahkan.
Pada Ahad lalu, polis dilaporkan menahan enam pelajar lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuli seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah MRSM di Muar.
Insiden berkenaan dipercayai berlaku pada Mei lalu dan kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.










