51 NGO desak RCI bebas siasat dakwaan ‘mafia korporat’ dan kaitan Azam Baki

KUALA LUMPUR: Sebanyak 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas bagi menyiasat dakwaan berkaitan kewujudan rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat”, termasuk dakwaan yang mengaitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Gesaan itu dikemukakan menerusi memorandum yang diserahkan oleh sekretariat RCINOW, yang turut mencadangkan supaya RCI berkenaan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, serta dianggotai bekas hakim, ahli akademik dan wakil masyarakat sivil.

Menurut sekretariat itu, komposisi sedemikian penting bagi memastikan kebebasan suruhanjaya, mengelakkan konflik kepentingan serta meningkatkan keyakinan awam terhadap hasil siasatan.

Dalam memorandum tersebut, sekretariat turut menggesa kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan RCI di bawah Seksyen 2(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Antara skop siasatan yang dicadangkan termasuk dakwaan pembabitan peribadi Azam dalam operasi yang didakwa dikaitkan dengan “mafia korporat”, termasuk hubungan beliau dengan seorang individu dikenali sebagai Andy Lim yang didakwa mempunyai kaitan dengan rangkaian berkenaan.

Selain itu, memorandum berkenaan turut menggesa siasatan terhadap dakwaan pembabitan Seksyen D SPRM dalam tindakan mengganggu serta mengugut ahli perniagaan bagi memudahkan pengambilalihan syarikat secara paksa, termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang tanggungjawab atau pembabitan pihak pengurusan tertinggi ketika itu.

Sekretariat RCINOW berpendapat RCI merupakan mekanisme paling sesuai bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa yang melibatkan agensi penguat kuasa atau pegawai kanan kerajaan kerana ia lebih bebas berbanding siasatan dalaman yang berpotensi menimbulkan konflik kepentingan.

Selain menggesa penubuhan RCI, memorandum itu turut mengemukakan beberapa cadangan reformasi institusi bagi memperkukuh tadbir urus SPRM.

Antaranya ialah meminda Akta SPRM 2009 bagi menetapkan syarat kelayakan yang lebih jelas untuk jawatan Ketua Pesuruhjaya, selain memperkenalkan proses saringan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) sebelum sebarang pelantikan dibuat.

Sekretariat itu turut mencadangkan supaya proses pemilihan dijalankan secara telus, dengan laporan bertulis dikemukakan kepada Perdana Menteri sebelum nama calon dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan rasmi.

Mereka juga mengesyorkan supaya prosiding PSSC berkaitan pelantikan dan pemantauan institusi dijalankan secara terbuka, kecuali perkara yang melibatkan kerahsiaan yang sah di sisi undang-undang.
Selain itu, memorandum tersebut mencadangkan agar PSSC diberikan kuasa untuk menjalankan siasatan, memanggil saksi dan mengemukakan syor tindakan terhadap sebarang salah laku yang dikenal pasti.

Sekretariat RCINOW turut menggesa SPRM diletakkan di bawah pengawasan Ombudsman Malaysia bagi membolehkan aduan berkaitan salah tadbir dan salah laku kakitangan disiasat oleh sebuah badan bebas.
Mereka turut mencadangkan supaya proses penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM dipinda agar tidak boleh dilakukan secara unilateral oleh Perdana Menteri tanpa alasan yang munasabah serta proses sewajarnya.

BBerkaitan

Latest articles