JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) enggan terlalu yakin meskipun Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menggesa pengundi supaya tidak memberikan undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN dan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kenyataan tersebut dihargai, namun ia tidak akan mengubah pendekatan gabungan itu yang terus menumpukan sepenuh usaha memperkukuhkan jentera parti sehingga hari pengundian.
Menurut beliau, seluruh jentera BN telah diarahkan supaya terus bekerja keras tanpa mengharapkan sokongan daripada mana-mana pihak, sebaliknya membina kemenangan berdasarkan kekuatan sendiri.
“Saya ucap terima kasih kepada Tuan Guru Haji Hadi jika perkara itu benar-benar dapat diterjemahkan pada hari mengundi 11 Julai nanti.
“Tetapi saya juga berpesan kepada jentera kita supaya terus bekerja kuat kerana dalam hidup ini kita jangan mengharapkan belas ihsan orang. Kita perlu bina kekuatan sendiri, dan jika ada yang mahu membantu, alhamdulillah serta kita ucapkan terima kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program kempen PRN Johor bersama calon BN DUN Simpang Jeram, Azman Ismail, hari ini.
Mengulas sama ada kenyataan Presiden PAS itu memberi kelebihan kepada BN, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menegaskan pihaknya tidak terlalu mengambil kira perkembangan tersebut.
Sebaliknya, beliau berkata fokus utama BN ketika ini ialah memastikan gerak kerja parti terus diperkasakan di setiap kawasan bagi menghadapi hari pengundian.
“Kita tidak ambil kira sangat perkara itu. Sebab itu saya minta jentera mantapkan gerak kerja dan terus kuatkan usaha kita.
“Jangan mengharapkan guruh di langit, nanti tempayan sendiri pula dipecahkan, akhirnya tidak membawa manfaat,” katanya.
Semalam, PAS melalui kenyataan rasmi Mesyuarat Khas PAS Pusat mengumumkan lima pendirian bagi menghadapi PRN Johor, termasuk mengarahkan penyokongnya supaya tidak mengundi PH walaupun di kerusi yang hanya menyaksikan saingan antara BN dan PH.
Dalam perkembangan sama, Mohamad turut mengulas dakwaan beberapa ramalan politik yang menyifatkan BN berdepan kesukaran mencapai sasaran memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya di kawasan majoriti pengundi Cina.
Beliau bagaimanapun menganggap ramalan tersebut bersifat subjektif dan memilih untuk menunggu keputusan sebenar pada hari pengundian.
“Perkara itu sangat subjektif, jadi saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Kita tunggu sahaja keputusan pada 11 Julai nanti.
“Namun daripada sambutan yang kita lihat sepanjang berkempen, apabila kita melalui kawasan kedai ramai yang keluar menyambut, bersalaman dan memberikan respons positif. Bagi saya, itu antara petanda yang baik,” katanya.










