BATU PAHAT: Kehadiran dua pemimpin PAS Batu Pahat pada majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Batu Pahat mencuri perhatian apabila ia berlaku ketika dua daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu menyaksikan pertandingan antara BN dan Bersatu, parti sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Dua pemimpin berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa PAS Batu Pahat, Misran Samian dan Hazrin Abdul Hamid, yang hadir ke program di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit, hari ini.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyambut baik kehadiran kedua-dua mereka dan menyifatkannya sebagai satu sokongan yang amat dihargai kepada calon-calon BN.
Beliau mengakui terkejut namun pada masa sama berasa terharu apabila pemimpin PAS itu memilih untuk menghadiri majlis berkenaan.
“Saya terharu dan dalam masa sama terkejut kerana mereka sudi hadir bersama-sama memberi sokongan kepada calon BN.
“Kita sememangnya mengalu-alukan kehadiran serta sokongan mereka,” katanya selepas merasmikan pelancaran jentera BN Batu Pahat.
Turut hadir pada majlis itu ialah tiga calon BN di Batu Pahat, iaitu Zaidi Japar yang bertanding di DUN Rengit, Mohd Yusla Ismail (DUN Senggarang) dan Boo Chin Liong (DUN Penggaram).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Zaidi akan berdepan calon PN daripada Bersatu, Syed Mohamad Syed Alwi, manakala Mohd Yusla pula menentang Rashid Hasnon, juga mewakili Bersatu.
Mengulas isu sokongan PAS terhadap BN, Onn Hafiz turut menepis dakwaan segelintir pemimpin DAP bahawa perkembangan itu membawa sentimen perkauman.
Beliau menegaskan dakwaan sedemikian tidak berasas memandangkan DAP sendiri pernah menjalinkan kerjasama politik dengan PAS sebelum ini.
“Dulu mereka boleh bekerjasama dengan PAS, tetapi apabila PAS mahu memberi sokongan kepada BN, tiba-tiba timbul pula dakwaan kononnya wujud unsur perkauman,” katanya.
Pada Ahad lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan mengarahkan ahli dan penyokong parti itu mengundi calon Umno-BN di kerusi yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai.
Sementara itu, Misran yang ditemui pemberita enggan mengulas lanjut mengenai kehadirannya pada majlis BN berkenaan.
“Nanti kita ulas hari lain,” katanya ringkas.










