JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kritikan terbuka yang dilemparkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi terhadap beliau dan parti tidak memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap BN, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Menurut Onn Hafiz, kenyataan Puad termasuk dakwaan bahawa beliau mengelak untuk berdebat dengan calon lawan serta gesaan supaya pengundi menangguhkan sokongan kepada BN hanyalah pandangan peribadi yang tidak mencerminkan pendirian rakyat di kawasan berkenaan.
“Majoriti penduduk di sini tidak ikut pun gesaan itu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat kepada jentera BN di Rengit.
Sebelum ini, Puad mendakwa Onn Hafiz enggan menyahut cabaran berdebat dengan Dr Maszlee Malik selepas Menteri Besar Johor itu menyatakan bahawa budaya politik Johor tidak menjadikan debat sebagai pendekatan utama untuk berpolitik.
Puad turut mempertikaikan alasan tersebut dengan menyifatkan hujah bahawa budaya “bertikam lidah” bukan amalan politik Johor tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak cadangan berdebat.
Dalam perkembangan terbaharu, Puad menggesa pengundi di Rengit supaya menangguhkan sokongan kepada BN sehingga kerajaan negeri menyelesaikan isu bekalan air serta masalah benteng yang pecah di Kampung Berong Lau.
Mengulas perkara itu, Onn Hafiz berkata beliau memahami hasrat yang ingin diperjuangkan oleh Puad, namun menegaskan perjuangan dalam parti tidak boleh dipengaruhi kepentingan individu atau keluarga.
Beliau turut mengambil contoh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Ayub Jamil, yang disifatkannya tetap setia kepada parti meskipun tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya sebelum ini.
“Kita tahu apa yang dia mahu perjuangkan ialah anak dia. Tetapi perjuangan parti bukan mengenai mana-mana individu. Kalau dia mahu serang saya, terpulanglah,” katanya.










