Anwar Tegas Larang Guna Jentera Kerajaan Untuk Kempen, Nafi Isu Pembatalan Program FELDA

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada sekatan terhadap penganjuran program bersama peneroka FELDA oleh kerajaan negeri, namun penggunaan jentera Kerajaan Persekutuan bagi tujuan kempen pilihan raya adalah sama sekali tidak dibenarkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata arahan jelas telah dikeluarkan supaya semua acara yang melibatkan jentera kerajaan tidak digunakan sepanjang tempoh kempen bagi memastikan proses pilihan raya berjalan secara adil dan berintegriti.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah sebelum itu membangkitkan dakwaan berhubung pembatalan sambutan Hari FELDA di Kluang, Johor yang dikaitkan dengan isu politik sehingga menjejaskan harapan peneroka untuk menerima geran tanah.

Menjawab perkara itu, Anwar menafikan pembatalan berkenaan berpunca daripada arahan beliau atau Kerajaan Persekutuan, sebaliknya menjelaskan ia berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tiada larangan untuk program Hari Peneroka atau penyerahan geran tanah oleh kerajaan negeri. Itu urusan negeri. Tetapi yang tidak dibenarkan ialah penggunaan jentera FELDA untuk tujuan berkempen,” katanya.

Anwar turut menegaskan isu yang tular di media sosial itu tidak pernah dibangkitkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri kepadanya, sekali gus menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Beliau berkata, mana-mana Menteri Besar juga tidak dihalang untuk memasuki kawasan FELDA bagi melaksanakan program pembangunan masing-masing.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu menegaskan kerajaan memberi perhatian serius terhadap agenda pemulihan FELDA yang sebelum ini berdepan cabaran pengurusan.

Menurutnya, kerajaan telah menyalurkan peruntukan besar termasuk bantuan sekitar RM1 bilion sebulan bagi memastikan kedudukan kewangan agensi berkenaan kembali stabil demi manfaat peneroka.

“FELDA yang pernah mencatat keuntungan besar dahulu telah terjejas akibat pengurusan lemah, kini kita sedang pulihkan dan kerajaan menampung semula,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai inisiatif turut diperkenalkan termasuk penubuhan pusat dialisis di kawasan FELDA serta penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, usaha itu merupakan perubahan besar berbanding sebelum ini apabila kawasan FELDA sering ketinggalan daripada arus pembangunan desa secara menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles