PAS Tegas Tolak PH, Terus Arah Ahli Undi BN Di Kerusi Tanpa PN

JOHOR: PAS mengarahkan ahli serta penyokongnya supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung 11 Julai ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut dibuat bagi memastikan undi di kawasan berkenaan tidak berpecah dan disalurkan kepada calon Umno-BN sekiranya PN tidak meletakkan calon.

Menurut beliau, arahan itu selaras dengan pendekatan penyatuan ummah yang menjadi asas kerjasama dalam PN, selain memastikan kekuatan blok berkenaan terus terpelihara di peringkat akar umbi.

“PAS mengarahkan ahli dan penyokong untuk memberikan undi kepada calon Umno atau BN di DUN yang tidak ditandingi PN.

“Saya yakin ahli PAS memahami kepentingan penyatuan ummah dan PN adalah wadah ke arah itu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim turut menegaskan pendirian parti agar tidak memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam mana-mana keadaan.

“Inilah yang ditegaskan, jangan undi PH,” katanya ringkas.

Sementara itu, gesaan sama disuarakan oleh Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang dilaporkan turut menggesa pengundi memberi sokongan kepada BN di kerusi yang tidak ditandingi PN, dengan alasan bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak memperoleh kemenangan.

Untuk rekod, PAS bertanding di 11 kerusi DUN pada PRN Johor kali ini, menurun berbanding 15 kerusi pada pilihan raya sebelum ini.

Rakan komponennya dalam PN, Bersatu pula bertanding di 16 kerusi, manakala MIPP di 5 kerusi dan Pejuang di 1 kerusi.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, sama seperti Pakatan Harapan (PH) yang turut meletakkan calon di semua kerusi pada pilihan raya negeri tersebut.

BBerkaitan

Latest articles