Puad Ingatkan UMNO Jangan Terperangkap Spekulasi Muafakat Nasional 2.0

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengambil pendekatan berhati-hati dalam berdepan desas-desus mengenai kemungkinan kerjasama politik baharu menerusi Muafakat Nasional (MN) 2.0, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, perkembangan terkini hubungan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak seharusnya mendorong UMNO membuat keputusan tergesa-gesa, sebaliknya perlu menilai setiap langkah secara teliti demi kepentingan parti.

Menerusi hantaran di Facebook, Puad menggunakan analogi perkahwinan mutaah bagi menggambarkan hubungan politik yang bersifat sementara dan mudah berakhir apabila matlamat bersama tidak lagi dapat dicapai.

“Dalam politik ada yang suka kahwin mutaah. Boleh cerai bila-bila masa jika objektif tidak tercapai. UMNO wajar berhati-hati,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika spekulasi mengenai kebangkitan semula Muafakat Nasional kembali diperkatakan susulan keputusan PAS yang dilihat menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Muafakat Nasional sebelum ini diwujudkan pada tahun 2019 melalui kerjasama antara UMNO dan PAS ketika negara berada di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Gabungan tersebut dilihat berjaya menyatukan dua parti Melayu terbesar ketika itu dalam usaha memperkukuh pengaruh politik masing-masing.

Bagaimanapun, kerjasama berkenaan tidak bertahan lama apabila PAS kemudiannya memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu pada tahun berikutnya, sekali gus menamatkan perjalanan Muafakat Nasional.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama PAS.

Beliau secara tegas menolak kemungkinan kerjasama tersebut diwujudkan semula, sekali gus memberi isyarat bahawa UMNO kekal dengan pendirian dan haluan politik yang sedang dilaksanakan ketika ini.

BBerkaitan

Latest articles