Penduduk Persoal Kewujudan Sekolah Rohingya, Desak Pemantauan Lebih Ketat

KUALA TERENGGANU: Sebuah pusat pembelajaran yang dipercayai digunakan oleh kanak-kanak etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian menjadi perhatian penduduk selepas didakwa beroperasi tanpa pengetahuan ramai sejak beberapa bulan lalu.

Premis berkenaan, yang mula beroperasi sekitar Februari lalu, dipercayai menempatkan antara 30 hingga 50 murid berusia empat hingga 15 tahun. Kehadirannya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penduduk terutama berkaitan status operasi, pemantauan pihak berkuasa serta kesannya terhadap komuniti setempat.

Hasil tinjauan mendapati pusat tersebut beroperasi dalam sebuah struktur sementara yang dibina menggunakan papan lapis dan dilengkapi kemudahan asas termasuk bekalan elektrik serta air, demikian memetik laporan TV3.

Premis itu dipercayai disewa daripada penduduk tempatan sebelum dijadikan lokasi pembelajaran.

Penduduk, Wan Mohamad Hafizul Wan Ismail, 53, mendakwa kebanyakan murid yang mengikuti kelas di situ datang dari kawasan luar Kampung Ladang Titian, termasuk dari Seberang Takir.

Menurutnya, sesi pembelajaran berlangsung sepanjang hari bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang dengan pelajar dihantar menggunakan kereta dan van.

Beliau berkata, pusat pembelajaran itu sebelum ini dikatakan beroperasi di sebuah rumah pangsa di Taman Sri Kolam sebelum dipindahkan ke lokasi sekarang.

Keadaan itu menyebabkan penduduk tertanya-tanya mengenai pengurusan dan pemantauan terhadap pusat berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa penduduk mendakwa berdepan masalah berkaitan tingkah laku sebahagian pelajar, termasuk isu kebersihan dan kegagalan mematuhi teguran.

Mereka turut mendakwa terdapat kejadian perselisihan faham membabitkan pelajar yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sekitar.

Seorang lagi penduduk, Suzaimi Zahari, 42, mendakwa dua lelaki Rohingya bertanggungjawab mengendalikan sesi pembelajaran di premis itu.

Katanya, bangunan berkenaan asalnya sebuah kedai runcit sebelum diubah suai menjadi ruang kelas yang dilengkapi peralatan asas pembelajaran.

Menurut beliau, pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri pernah menjalankan pemeriksaan di lokasi tersebut, namun individu yang berada di situ dikatakan memiliki dokumen pengenalan UNHCR.

Bagaimanapun, operasi pusat berkenaan dilaporkan dihentikan sejak Selasa lalu selepas isu itu tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak berkuasa.

Pemeriksaan yang dilakukan bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapati premis tersebut merupakan binaan tambahan yang pada asalnya digunakan bagi tujuan perniagaan sebelum dijadikan pusat pendidikan.

BBerkaitan

Latest articles