Polis Selesai Ambil Keterangan Penyelamat Orang Asli, Tunggu Jaslinda Stabil Lengkapkan Siasatan

TAPAH: Polis telah merekodkan keterangan beberapa penduduk Orang Asli yang menemukan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, selepas beliau hilang selama dua minggu di kawasan hutan Gunung Batu Putih.

Ketua Polis Daerah Tapah, Abdul Malik Hasim berkata, antara individu yang dipanggil memberi keterangan ialah Nazri Bah Eng, 51, bersama dua rakannya yang terlibat secara langsung dalam usaha menyelamatkan mangsa di kawasan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, petang semalam.

Menurut beliau, proses pengambilan keterangan itu penting bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai lokasi penemuan serta keadaan Jaslinda ketika ditemui.

“Polis juga sedang menunggu keadaan mangsa kembali stabil sebelum keterangannya dapat direkodkan bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Malik memaklumkan Jaslinda kini masih menerima rawatan di Hospital Tapah selepas mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kiri.

Jaslinda sebelum ini dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Batu Putih pada 24 Mei lalu, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan serta sukarelawan.

Wanita itu akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 5 petang semalam oleh sekumpulan penduduk Orang Asli di kawasan hutan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu sebelum dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan awal mendapati Jaslinda menyertai pendakian bersama 13 peserta lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Trans Spencer Chapman yang bermula pada 23 Mei lalu.

Difahamkan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki mengalami masalah kesihatan sepanjang ekspedisi tersebut.

Bagaimanapun, wanita berkenaan dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei, sekali gus mencetuskan misi pencarian yang berlarutan selama 14 hari.

BBerkaitan

Latest articles