NEW DELHI: Malaysia dan Iran berusaha memperluas kerjasama ekonomi dan perdagangan ketika hubungan kedua-dua negara berdepan cabaran geopolitik serta risiko sekatan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, di Hotel The Oberoi, di sini, hari ini, bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan dan ekonomi.
Pertemuan itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta delegasi Malaysia.
Hubungan ekonomi Malaysia-Iran dilihat mempunyai ruang untuk terus dikembangkan, dengan nilai perdagangan dua hala merekodkan RM2.45 bilion pada 2025.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Iran menyumbang RM2.17 bilion, sebahagian besarnya membabitkan produk berasaskan minyak sawit, manakala import dari Iran pula merangkumi produk minyak dan gas.
Usaha memperkukuh hubungan berkenaan turut mendapat manfaat daripada kedudukan kedua-dua negara dalam BRICS, yang menyediakan platform tambahan untuk memperluas jaringan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi dengan pasaran sedang membangun.
Malaysia sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk mempererat hubungan dengan Iran dalam beberapa bidang, termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan penyelidikan, selain perdagangan dan pelaburan.
Bagaimanapun, usaha tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat membabitkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Risiko sekatan antarabangsa serta pemantauan terhadap sektor tenaga dan aktiviti maritim Iran juga menjadi antara cabaran yang perlu diberi perhatian bagi memastikan hubungan ekonomi Malaysia dengan Tehran tidak menjejaskan kepentingan syarikat, institusi kewangan dan pemain industri tempatan.
Anwar sebelum ini menegaskan Malaysia tidak akan mengorbankan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Iran hanya kerana tekanan atau ancaman tarif daripada negara lain.
Beliau berkata pendekatan Malaysia dalam menguruskan hubungan antarabangsa adalah berasaskan kepentingan nasional, ketelitian serta penghormatan terhadap kedaulatan negara lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang menjadi hos sidang kemuncak, pada pagi ini.
Beliau turut dijadual bertemu Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, pada sebelah petang serta mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.
Jadual Perdana Menteri turut dipenuhi pertemuan empat mata dengan beberapa pemain korporat utama India, termasuk Kumpulan Adani yang mempunyai kepentingan besar dalam sektor pengangkutan, logistik, tenaga dan pembangunan infrastruktur.
Selain itu, Anwar dijadual mengadakan perbincangan dengan Segula Technologies India Pvt Ltd, AWL Agri Business Ltd dan Kumpulan Motherson bagi meneroka peluang kerjasama serta potensi pelaburan.
Lawatan kerja itu akan diakhiri dengan kehadiran Anwar pada majlis makan malam gala yang menghimpunkan pemimpin negara anggota, rakan kongsi serta jemputan BRICS di Bharat Mandapam, lokasi berlangsungnya sidang kemuncak berkenaan.










