KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menepis dakwaan wujud layanan istimewa atau dwistandard dalam pembebasan bekas Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony menerusi Program Pembebasan Banduan Berlesen (PBSL).
Jabatan itu menegaskan, pembebasan menerusi PBSL bukan bermakna hukuman penjara yang dikenakan mahkamah terhadap Peter digugurkan atau dikurangkan, sebaliknya beliau masih perlu menjalani baki hukuman di luar penjara dengan pengawasan ketat.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara berkata Peter hanya dipertimbangkan menyertai PBSL selepas memenuhi tempoh kelayakan ditetapkan dan menjalani proses tapisan serta penilaian yang sama seperti banduan lain.
“PBSL dilaksanakan kepada banduan yang layak tanpa mengira latar belakang, jawatan, status atau pengaruh.
“Status seseorang bukan kriteria yang memberikan kelebihan atau pengecualian daripada proses kelayakan dan penilaian program,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara turut menegaskan dakwaan bahawa Peter diberikan layanan berbeza dalam proses pembebasan berkenaan adalah tidak tepat.
Menurutnya, setiap permohonan PBSL dinilai berdasarkan kelayakan, penilaian dan prosedur yang telah ditetapkan, manakala banduan yang diluluskan program itu kekal di bawah pengawasan sehingga tamat baki hukuman.
Jabatan itu menjelaskan PBSL merupakan mekanisme pemulihan berstruktur yang membolehkan banduan layak menjalani baki hukuman dalam komuniti, namun mereka tetap tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan jabatan.
Untuk dipertimbangkan bagi PBSL, seseorang banduan perlu menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman.
Bagaimanapun, Jabatan Penjara menegaskan pencapaian tempoh minimum itu tidak bermaksud seseorang banduan secara automatik layak menyertai program berkenaan.
Sebaliknya, calon perlu melalui penilaian menyeluruh yang mengambil kira antaranya sahsiah dan kelakuan sepanjang menjalani hukuman, perkembangan pemulihan serta penyertaan dalam Program Pembangunan Insan.
Penilaian turut merangkumi tahap kesediaan banduan untuk kembali ke komuniti, sokongan keluarga, kesesuaian penempatan, peluang pekerjaan serta keperluan pemantauan selepas pembebasan.
Permohonan yang melepasi proses berkenaan kemudiannya dipertimbangkan di peringkat ibu pejabat Jabatan Penjara oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Penjara serta dianggotai pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.
“Proses ini memastikan setiap kes dipertimbangkan berdasarkan kelayakan dan hasil penilaian mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Isu pembebasan Peter kembali menjadi perhatian minggu ini ketika polemik mengenai permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengambil pendirian bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman yang dijatuhkan mahkamah.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, kemudian mempersoalkan pendirian berkenaan dengan mendakwa PH mengamalkan layanan berbeza apabila tidak membantah pembebasan Peter untuk menjalani baki hukumannya di luar penjara.
Peter sebelum ini dihukum penjara tiga tahun selepas didapati bersalah memalsukan dokumen dan pada Mac lalu dibenarkan menjalani baki hukumannya menerusi mekanisme parol.










