KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman menzahirkan permohonan maaf secara terbuka kepada Pas berhubung ketegangan politik lalu, selain menggesa kepimpinan dan ahli Parti Wawasan Negara untuk kembali ke pangkuan perjuangan parti.
Beliau berkata, ahli UMNO Kelantan sentiasa berjiwa besar serta bersedia mematuhi apa sahaja keputusan serta arahan kepimpinan tertinggi demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
“Kami di Kelantan adalah penentang kepada Pas dahulunya. Tetapi kami berjiwa besar, walak kepada Datuk Seri Presiden (Ahmad Zahid Hamidi)… apa sahaja arahan kami akan ikut.
“Saya minta maaf dahulunya saya kata jahanam, itu ketika dulu. Sekarang saya hulurkan tangan untuk berbaik sangka, untuk kita mengangkat agama kita, menyatukan bangsa kita tanpa menidakkan bangsa lain dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut berhubung kerjasama politik di peringkat negeri, Zawawi menyuarakan cadangan agar penyatuan antara UMNO dan Pas di Kelantan mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan semula negeri berkenaan.
“Mungkin penyatuan UMNO dengan Pas di Kelantan boleh kita letakkan sebagai arkitek dan jurutera untuk membangunkan negeri Kelantan yang dikatakan sudah ke belakang sekarang ini.
“Takkanlah kita nak bermusuh sampai bila-bila. Kelantan mendapat sinar kalau diarahkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zawawi turut menyentuh seruan Presiden UMNO yang mengajak pihak yang telah membawa haluan sendiri termasuk kepimpinan Parti Wawasan Negara, supaya kembali bersama dan tidak meneruskan perpecahan.
Namun begitu, beliau mengingatkan agar sebarang jalinan perpaduan baharu dipelihara dengan cermat tanpa kehadiran pihak ketiga yang boleh meretakkan semula hubungan yang dibina.
“Dalam hubungan kita, jangan ada orang ketiga. Bukan kita menolak, tetapi kita rasa curiga… takut pisang berbuah dua kali. Kalau dulu bersatu, akhirnya kita terkeluar dan perjanjiannya terkendala.
“Maka apabila Presiden ucap kata ‘datanglah kembali’ dan beliau tidak pernah berdendam, saya minta wawasan daripada pergi ke sana, baik datang ke sini. Datanglah bersama dengan kita, berbincanglah untuk bangsa kita,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan, perwakilan, serta ahli UMNO di semua peringkat untuk kekal bersatu di bawah satu arahan kepimpinan bagi menghadapi cabaran politik akan datang.










