KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dipuji kerana terus membuktikan keupayaan membantu rakyat menerusi tindakan berkesan tanpa perlu menabur janji manis.
Perwakilan UMNO Pahang, Datuk Abu Jimi Samat berkata, pendekatan yang diamalkan oleh pimpinan negeri berkenaan terbukti berhemah apabila berjaya membantu golongan pelajar terutamanya dalam isu penyelesaian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut beliau, usaha tersebut berbeza dengan tindakan pihak tertentu sebelum ini yang pernah menabur pelbagai janji politik untuk memberikan pendidikan percuma, namun gagal merealisasikannya selepas memegang kuasa.
“Ada dulu sebelum jadi kerajaan dia kabar (janji) 80 bilion tolak 5 bilion… tapi akhirnya bila jadi kerajaan, apa dia buat? Tak ada benda dia buat, dia kabar payah.
“Tok Wan (Wan Rosdy) pula tak payah janji, dia bantu pelajar-pelajar PTPTN untuk bayar balik semula.
“Dulu dia (pihak lawan) cakap kita kerajaan Turki bagi pendidikan percuma kepada rakyat… janji kedegar-kedegar tapi akhirnya tak boleh buat. Tok Wan tak payah janji, dia bantu pelajar-pelajar PTPTN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Abu Jimi menjelaskan bahawa kepimpinan Wan Rosdy di Pahang wajar dijadikan teladan kerana beliau berjaya mengemudi negeri dengan penuh keyakinan biarpun berdepan pelbagai cabaran politik dan kekangan sebelum ini.
Beliau menambah, pendekatan ‘Tiada Janji, Lihat Bukti’ yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri Pahang telah memberi manfaat nyata kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).
“Sebelum Datuk Seri Wan jadi Menteri Besar, beliau tak ada pun janji atau memberi harapan yang besar. Sebab itu slogan Datuk Seri Wan kabar, ‘Tiada Janji, Lihat Bukti’.
“Banyak berapa banyak bukti beliau buat. Anak saya ada tiga orang pinjam PTPTN, mudah-mudahan terpilih (menerima bantuan),” ulasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh ahli dan kepimpinan UMNO untuk terus memelihara kesetiaan dan kesatuan di bawah pimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi demi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti.










