UMNO Selangor Tolak Jawatan Ketua Kampung, Ahli Majlis Kerana Prinsip

​KUALA LUMPUR: UMNO Selangor mengambil keputusan tegas untuk tidak menerima sebarang tawaran jawatan Ketua Kampung, Ahli Majlis mahupun pengerusi Syarikat Milik Kerajaan (GLC) di negeri itu demi mempertahankan prinsip parti.

​Perwakilan UMNO Selangor, Datuk Noorazli Said berkata, tindakan tersebut diambil kerana parti tidak mahu dianggap sekadar pelengkap atau tidak dihargai dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan Selangor.

​Menurut beliau, kepimpinan UMNO Selangor sepakat untuk menolak tawaran berkenaan selepas melihat wujudnya sikap tidak menghargai pengorbanan serta sumbangan parti yang telah membantu memenangi kerusi-kerusi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

​“Bila tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di Selangor, kami melihat seolah-olah tidak dihargai. Mereka melihat kita melalui angka dua (kerusi), tanpa melihat sumbangan kita kepada kerusi-kerusi yang lain.

​“Sebab itu pengurus perhubungan minta kita semua sepakat untuk tolak. Hari ini, Ketua Kampung di Selangor satu pun kita tak ambil, Ahli Majlis satu pun kita tak ambil, Pengerusi GLC satu pun kita tak ambil.

​“Ini kerana prinsip. Kita tak mahu hanya kerana jawatan, kita mencairkan prinsip kita. Kita bukan pelengkap. Kalau nak kawan, kawan betul-betul. Kalau nak lawan, kita lawan betul-betul,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Noorazli menegaskan bahawa pengorbanan jentera UMNO Selangor amat besar apabila terpaksa merayu kepada pengundi dan ahli parti untuk menyokong calon daripada PH demi mematuhi semangat Kerajaan Perpaduan.

​Sehubungan itu, beliau memohon agar Badan Perhubungan UMNO Selangor diberikan mandat penuh untuk menentukan rakan strategik serta hala tuju parti di negeri berkenaan bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

​“Betul Presiden sebut, lain padang lain belalang. Satu formula tidak boleh menyelesaikan semua masalah.

​“Beri mandat seluas-luasnya kepada Pengerusi Perhubungan kami (Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin) untuk tentukan siapa rakan strategik kami di Selangor pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles