Ismail Tamat Khidmat Ketua J-Kom Hari Ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sekali lagi melalui fasa pertukaran kepimpinan apabila Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Yusop mengesahkan beliau menamatkan perkhidmatannya di agensi itu berkuat kuasa hari ini.

Menurut Ismail, penamatan lebih awal tempoh perkhidmatannya dibuat bagi membolehkan beliau menggalas tanggungjawab baharu dalam kerajaan, namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pelantikan tersebut.

Beliau berkata, amanah baharu yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen dan menegaskan kesetiaannya untuk terus menyokong serta menjayakan agenda Kerajaan Madani.

Difahamkan, Ismail telah menyampaikan amanat terakhir kepada warga J-Kom menerusi sesi Google Meet pada Jumaat lalu sebagai tanda berakhirnya tempoh kepimpinannya di jabatan berkenaan.

Setakat ini, kerajaan masih belum mengumumkan calon pengganti mahupun tarikh pelantikan baharu bagi menerajui agensi yang berperanan menyelaras komunikasi kerajaan dan memperkukuhkan usaha libat urus dengan rakyat itu.

Ismail, yang juga bekas senator PKR, dilantik sebagai Ketua Pengarah J-Kom pada Januari 2025 menggantikan Khairuddin Othman.

Sepanjang pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak November 2022, beliau merupakan individu ketiga yang mengetuai agensi tersebut.

BBerkaitan

Latest articles