Bekas ADUN Pengkalan Kundor Ditemukan Lemas, Mayat Dijumpai Dalam Sungai

ALOR SETAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Mohd Jamil Md Idross, 78, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di Sungai Teluk Bagan, berhampiran Kampung Teluk Bagan, pagi tadi.

Kejadian itu disedari selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi memaklumkan seorang lelaki dipercayai terjatuh dan lemas di sungai berkenaan. Susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi pencarian.

Ketua BBP Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, operasi mencari mangsa dilakukan di permukaan air sekitar kawasan kejadian sebelum mangsa berjaya ditemui pada jam 8.05 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke tebing sungai kira-kira 13 minit kemudian bagi tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai kebiasaan mengalihkan kenderaannya dari kawasan rumah ke lokasi berhampiran sungai yang terletak bersebelahan kediamannya.

Beliau berkata, ahli keluarga kali terakhir melihat mangsa sekitar jam 11.30 malam semalam sebelum menyedari kehilangannya pada kira-kira jam 5 pagi hari ini.

“Ahli keluarga kemudian menemui sepasang selipar dipercayai milik mangsa di tepi Sungai Teluk Bagan sebelum membuat laporan polis kerana mengesyaki beliau terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Polis turut menemukan sebuah Perodua Kancil berwarna putih yang dipercayai telah dialihkan mangsa ke kawasan berhampiran sungai sebelum kejadian berlaku.

Menurut Syed Basri, mangsa mempunyai beberapa rekod penyakit kronik termasuk kencing manis, darah tinggi dan jangkitan paru-paru, selain baru keluar dari hospital kira-kira sebulan lalu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan keluarga mengesahkan mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah kemurungan atau masalah kesihatan mental.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

Allahyarham pernah mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor atas tiket Barisan Nasional (BN) selama dua penggal iaitu dari 1995 hingga 1999 serta 2004 hingga 2008.

BBerkaitan

Latest articles