DARI MEJA EDITORIAL TRI
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 seharusnya menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran terbaik kepada rakyat, bukannya pentas untuk mencetuskan permusuhan politik yang berpanjangan.
Dalam suasana demokrasi yang semakin matang, rakyat Johor tidak lagi mahu melihat parti-parti politik menghabiskan masa dengan serangan peribadi, pertelingkahan berlebihan atau naratif yang memecahbelahkan masyarakat.
Sebaliknya, mereka mahu melihat siapa yang benar-benar mampu menawarkan penyelesaian terbaik untuk masa depan negeri.
Hakikatnya, baik Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) mempunyai kekuatan tersendiri.
BN mempunyai rekod pentadbiran yang panjang di Johor serta pengalaman mengurus pembangunan negeri. PH pula membawa agenda reformasi, tadbir urus yang lebih baik serta kelebihan hubungan yang rapat dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kerajaan MADANI.
Perbezaan ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk mewujudkan sengketa politik yang berlebihan. Sebaliknya, kedua-dua pihak perlu menunjukkan kematangan politik dengan menghormati proses demokrasi dan memberi ruang kepada rakyat membuat penilaian secara rasional.
Malah, mesej yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Johor malam tadi juga memperlihatkan keutamaan yang sama.
Beliau menegaskan bahawa pilihan utamanya adalah meneruskan kerjasama politik demi kestabilan negara, menjaga kebajikan rakyat dan menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi, bukannya terus-menerus berpolitik atau berpilihan raya. Namun pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa PH bersedia menghadapi sebarang pertandingan sekiranya keadaan memerlukan.
Pendirian tersebut menggambarkan bahawa fokus utama negara ketika ini seharusnya kekal kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar perebutan kuasa politik.
Yang paling penting, rakyat Johor perlu menjadi pihak yang mendapat manfaat daripada pilihan raya ini.
Johor hari ini sedang berada di tengah-tengah pelaksanaan pelbagai projek strategik yang bakal menentukan hala tuju ekonomi negeri untuk beberapa dekad akan datang.
Antaranya termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelaburan berteknologi tinggi, pembangunan pusat data, pengukuhan infrastruktur serta usaha menjadikan Johor sebagai hab ekonomi utama di rantau ini.
Kesemua agenda ini memerlukan kestabilan politik dan hubungan kerja yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
JOHOR PERLUKAN KERJASAMA SEMUA
Hujah bahawa Johor memerlukan sebuah kerajaan negeri yang mampu bekerjasama secara erat dengan Putrajaya adalah sesuatu yang wajar dipertimbangkan oleh rakyat.
Ini bukan soal siapa lebih hebat atau siapa lebih dominan.
Ia soal memastikan setiap peluang pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
Apabila hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan yang baik, banyak perkara boleh dilaksanakan dengan lebih lancar.
Pelaburan dapat dipercepatkan, Peruntukan pembangunan dapat disalurkan dengan lebih berkesan malah Projek infrastruktur dapat diselesaikan mengikut jadual dan pastinya Masalah rakyat dapat ditangani dengan lebih pantas.
KEYAKINAN PELABUR
Di dalam ucapannya malam tadi, Perdana Menteri sendiri mengingatkan bahawa dalam keadaan dunia yang masih berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, tumpuan negara seharusnya diberikan kepada pembangunan ekonomi, pelaburan serta penyelesaian isu rakyat. Itulah keutamaan yang perlu dipertahankan oleh semua pihak.
Namun dalam masa yang sama, rakyat juga berhak menilai mana-mana parti berdasarkan rekod, prestasi dan tawaran mereka.
Demokrasi tidak bermaksud semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara.
Demokrasi bermaksud perbezaan pandangan diraikan dengan penuh hormat dan kematangan.
Oleh itu, kempen PRN Johor 2026 seharusnya menjadi ruang untuk mengangkat idea terbaik bagi masa depan Bangsa Johor, bukannya medan untuk menanam kebencian politik.
Johor tidak memerlukan politik yang memecah-belahkan rakyat.
Johor memerlukan politik yang menyatukan tenaga, bakat dan idea demi pembangunan negeri.
Akhirnya, siapa pun yang dipilih oleh rakyat nanti, mandat itu perlu dihormati.
Kerana dalam demokrasi yang matang, kemenangan bukan sekadar milik parti politik.
Kemenangan sebenar adalah apabila rakyat mendapat kerajaan yang stabil, pembangunan yang berterusan dan masa depan yang lebih baik.
Biarlah BN bertanding dengan gagasan mereka, Biarlah PH menawarkan visi mereka. Dan biarlah rakyat Johor membuat keputusan berdasarkan fakta, prestasi serta harapan mereka terhadap masa depan negeri.
Kerana apabila demokrasi diraikan dengan matang, yang menang akhirnya bukan BN atau PH semata-mata kerana Yang menang adalah Bangsa Johor.










