Selangor Tegaskan Semakan Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam Bukan Sekatan Agama

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan semakan dan penambahbaikan Garis Panduan serta Piawaian Perancangan Kemudahan Masyarakat bagi rumah ibadat bukan Islam dilakukan bagi memastikan perancangan pembangunan lebih teratur dan memenuhi keperluan masyarakat majmuk, bukannya untuk menyekat kebebasan beragama.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS), Papparaidu Veraman berkata, semakan yang telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu turut bertujuan memperkemaskan dasar sedia ada selain mengelakkan salah faham susulan dakwaan tidak tepat yang tular di media sosial.

Menurut beliau, Selangor kekal komited mempertahankan hak komuniti bukan Islam dengan 481 tapak rumah ibadat telah diluluskan sejak 2008, termasuk 57 tapak di bawah pentadbiran semasa, manakala 40 lagi permohonan sedang diproses.

Jumlah itu dijangka melepasi 500 tapak menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut menafikan dakwaan rumah ibadat bukan Islam tidak lagi dibenarkan mempunyai akses terus ke jalan utama.

Katanya, cadangan pembinaan jalan perkhidmatan dibuat atas faktor keselamatan dan pengurusan trafik, khususnya ketika perayaan atau acara keagamaan yang melibatkan kehadiran ramai pengunjung.

Selain itu, Papparaidu menegaskan tiada dasar untuk merobohkan kuil atau tempat sembahyang secara sewenang-wenangnya. Jelasnya, garis panduan yang dibincangkan hanya melibatkan struktur sementara di kawasan pembangunan yang akan dipindahkan apabila rumah ibadat kekal siap dibina.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang penambahbaikan dasar memberi manfaat kepada seluruh rakyat serta memelihara keharmonian dan pembangunan mampan di Selangor.

BBerkaitan

Latest articles