TAPAH: Misteri kehilangan seorang pendaki wanita di Gunung Batu Putih sejak lebih dua minggu lalu akhirnya terungkai apabila mangsa ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu.
Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mei lalu, ditemui di Kampung Lubuk Gaharu berhampiran Pos Musoh selepas komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan memaklumkan penemuannya kepada pihak berkuasa.
Perkembangan itu turut menarik perhatian ramai apabila beberapa gambar yang dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah milik komuniti setempat mula tular di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mangsa dan memaklumkan bahawa kenyataan media rasmi berhubung insiden tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.










