Malaysia Kekal Juara Ekonomi Halal Dunia 12 Tahun Berturut-turut

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi halal global apabila sekali lagi menduduki tangga teratas Petunjuk Ekonomi Islam Global menerusi Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026.

Pencapaian itu menandakan tahun ke-12 berturut-turut Malaysia mengekalkan kedudukan nombor satu dunia, sekali gus membuktikan keutuhan ekosistem halal negara yang didorong oleh sistem pensijilan bertaraf antarabangsa, kemudahan perdagangan halal serta pembangunan industri yang mampan.

Laporan berkenaan turut menyaksikan Malaysia mengekalkan penguasaan dalam sektor utama ekonomi Islam dengan menduduki tempat pertama bagi makanan halal, kewangan Islam serta farmaseutikal dan kosmetik halal, selain kekal di kedudukan teratas bagi kesemua enam sektor ekonomi Islam yang dinilai.

Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, pencapaian berterusan itu mencerminkan kekuatan ekosistem halal negara serta komitmen Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi halal berasaskan kualiti, kepercayaan dan nilai etika.

Menurut beliau, pengukuhan jaringan perdagangan halal dan pendekatan diplomasi halal yang lebih proaktif membolehkan Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem ekonomi halal global yang lebih bersepadu serta berdaya tahan.

“Malaysia akan terus memacu inovasi, kemampanan dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan industri halal negara kekal kompetitif serta bersedia menghadapi perubahan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2025, eksport halal Malaysia direkodkan bernilai RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Industri halal kini menyumbang 4.3 peratus daripada keseluruhan eksport negara, didorong oleh permintaan kukuh terhadap produk makanan, minuman dan bahan halal keluaran Malaysia.

Di peringkat global, perbelanjaan pengguna Muslim mencecah AS$2.6 trilion pada 2024 dan dijangka meningkat kepada AS$3.56 trilion menjelang 2029, sekali gus memperlihatkan potensi besar pasaran halal dunia yang terus berkembang.

Perkembangan itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab utama pembuatan dan pengedaran halal yang menghubungkan rantaian bekalan antarabangsa dengan pasaran pengguna Muslim yang semakin pesat.

Selain aspek perdagangan, Malaysia turut memperluaskan pengaruhnya dalam diplomasi dan kepimpinan pemikiran halal menerusi pembentukan kerjasama strategik antarabangsa, inisiatif pembangunan kapasiti serta penglibatan aktif dalam platform global.

Laporan SGIE 2025/2026 turut mengenal pasti pelbagai peluang baharu termasuk pendigitalan pensijilan halal, teknologi kebolehkesanan berasaskan blockchain, kewangan digital Islam dan pengeluaran halal mampan, bidang yang dijangka membuka ruang lebih luas untuk Malaysia menerajui agenda halal dunia pada masa hadapan. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles