​KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kini semakin hampir dan menggesa seluruh ahli serta kepimpinan parti untuk bersiap sedia menghadapi “ibu segala pertempuran”.
​Ahmad Zahid menegaskan bahawa tempoh bagi menentukan hala tuju negara dan mengembalikan martabat perjuangan parti kini berada di hadapan mata.
​Menurut beliau, segala ikhtiar telah diusahakan dan doa telah dipanjatkan sepanjang lapan tahun kepimpinannya kemudi bahtera parti melalui pelbagai cabaran serta ujian politik.
​”Setelah segala ikhtiar diusahakan, setelah segala doa kita panjatkan, setelah barisan kita rapatkan… dari Dewan Merdeka ini, bangkitlah!
​”Bersiaplah kita untuk mara ke medan pertempuran berbekalkan kebersamaan serta keikhlasan bersama rakan-rakan satu persefahaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
​Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi penekanan bahawa PRU16 bakal menjadi penentu utama kepada kedudukan wacana politik tanah air dan masa depan parti itu.
​”PRU16 pasti tiba yang akan menjadi ‘ibu segala pertempuran’. Bersiaplah untuk kita terus bermujahadah, untuk kita menentukan detik mara ke hadapan.
​”Kerana itulah ketikanya untuk kita meletakkan semula wadah keramat orang-orang Melayu bersama dengan rakan-rakan bangsa lain untuk berada di puncak maruah, untuk kembali ke puncak daulat,” jelasnya.
​Mengimbau perjalanan sepanjang lapan tahun memimpin parti, Ahmad Zahid mengakui fasa tersebut sarat dengan pelbagai ujian, kekalahan, serta kebangkitan semula UMNO dalam arus politik tanah air.
​”Lapan tahun kami yang ada di atas pentas ini telah mengemudi bahtera parti keramat ini. Lapan tahun yang penuh mehnah dan tribulasi. Lapan tahun ada jatuh, ada bangun, ada luka yang menggores hati.
​”Namun setiap luka mendewasakan, setiap ujian mematangkan, dan setiap cabaran mengajar erti ketabahan. Alhamdulillah, bahtera ini masih belayar, panjinya masih berkibar,” luah beliau.
​Tambahnya lagi, perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukannya didorong oleh keuntungan peribadi sebaliknya demi agenda kemakmuran rakyat serta negara.
​”Bukan kerana imbuhan dan harta, tetapi kerana sebuah cita-cita, Agenda Malaysia Biru agar rakyat dan negara beroleh sejahtera,” jelas beliau.
​​Dalam pada itu, Ahmad Zahid memohon agar seluruh kepimpinan dan ahli parti terus istiqamah, tidak berpalih tadah, serta memperkemaskan saf perjuangan menghadapi sebarang kemungkinan gelombang politik akan datang.
​”Pesan saya, pesan kami semua… bersabarlah. Jangan kita mudah menyerah, jangan sesekali berubah arah, dan jangan ada lagi yang berpalih tadah.
​”Selagi kita istiqamah melangkah, selagi kita setia memegang amanah, yakinlah pasti akan sampai pertolongan daripada Allah SWT,” katanya lagi.










