Perlembagaan Dipinda, Kerusi Parlimen Sabah-Sarawak Akan Ditambah – PM

KOTA KINABALU: Kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuka laluan kepada penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, selaras tuntutan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bukan sekadar menambah jumlah kerusi, sebaliknya mesti disertai peningkatan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah berkenaan berbanding kedudukan ketika ini.

Menurutnya, perkara berkenaan antara keputusan utama yang dipersetujui kerajaan dan akan melalui proses pindaan Perlembagaan sebelum pelaksanaannya.

“Yang agak utama adalah keputusan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak lebih daripada apa yang dijanjikan dalam MA63.

“Penambahan itu mesti juga melibatkan ratio Sabah-Sarawak yang lebih tinggi. Penambahan Ahli Parlimen pula adalah di bawah wewenang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) 2026, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud.

Ketika ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31 kerusi.

Anwar berkata, kemungkinan penambahan kerusi Parlimen di Semenanjung turut terbuka, namun sebarang pertambahan tidak boleh menghakis prinsip utama untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kedudukan itu perlu mengambil kira struktur perwakilan ketika pembentukan Malaysia pada 1963, apabila Singapura, Sabah dan Sarawak secara keseluruhannya membentuk satu pertiga daripada jumlah perwakilan.

“Maknanya mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, penambahan dari Sabah dan Sarawak, tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip ratio perwakilan Sabah dan Sarawak harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya.

Menurut Anwar, wakil Sabah dan Sarawak akan mengadakan rundingan lanjut dengan parti-parti politik di Semenanjung bagi membincangkan pelaksanaan perkara tersebut.

Beliau berkata prinsip menambah penyertaan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak telah dipersetujui lebih awal oleh Jemaah Menteri sebelum mendapat kelulusan Kabinet.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan pertambahan jumlah kerusi semata-mata tidak memadai sekiranya ia hanya menyamakan kedudukan sedia ada tanpa meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah.

“Penambahan tidak bermakna ia mungkin hanya ‘equalise’ seperti yang ada. Jadi, penambahan dengan peningkatan ratio penyertaan Sabah dan Sarawak. Itu yang pertama dan penting,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles