KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa sedih susulan keputusan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya tetap menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sambil berharap pertimbangan terbaik dapat diberikan kepada Najib.
“Kami bersedih dengan keputusan itu. Bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan merayu supaya seluruh kebijaksanaan serta daulat Tuanku digunakan untuk membuat keputusan terbaik.
“Kami tetap mendukung institusi Raja dan mengharapkan yang terbaik diberikan kepada Datuk Seri Najib,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang akan datang.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat ke-63 lembaga berkenaan hari ini, yang turut memutuskan pembebasan 65 banduan.
BHEUU turut memaklumkan semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan akan diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan.










