Jangan Jadikan Mahkamah, Agensi Penguat Kuasa Alat Politik – Zahid

KUALA LUMPUR: Institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan tidak boleh sesekali diperalatkan oleh kerajaan atau mana-mana pihak untuk memenuhi kepentingan politik.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat perlu diyakinkan bahawa institusi berkenaan benar-benar bebas, berintegriti dan berfungsi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, Malaysia tidak seharusnya mengamalkan konsep rule by law (pemerintahan berasaskan undang-undang), sebaliknya perlu memastikan rule of law (kedaulatan undang-undang) menjadi asas pentadbiran negara.

“Kita mahu rakyat percaya kepada mahkamah. Saya ulangi, kita mahu rakyat percaya kepada mahkamah dan bukannya mahkamah yang diperalatkan.

“Kita percaya kepada semua agensi penguatkuasaan, tetapi bukan agensi yang diperalatkan.

“Siapa pun yang menjadi kerajaan, institusi negara tidak boleh dijadikan alat demi kepentingan politik,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kebebasan serta integriti institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan amat penting bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan tanpa menimbulkan persepsi berlaku pendakwaan terpilih.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak seharusnya menggunakan tindakan penguatkuasaan untuk menekan atau menakut-nakutkan mana-mana pihak.

“Kita tidak mahu sesiapa dibaju-orengkan (baju oren) dan kita tidak mahu sesiapa pun dibaju-jinggakan atau diungukan. Tetapi kita mahu ‘dimerahkan’ dan ‘dihijaukan’.

“Penjawat awam sangat percaya kepada sistem dan jangan dihantui mereka dengan ugutan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, tadbir urus baik bukan sekadar slogan yang dilaungkan dalam manifesto, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penggunaan kuasa secara amanah serta mengelakkan sebarang bentuk penindasan dan penganiayaan.

Beliau berkata, usaha memperkukuh institusi negara, integriti dan kedaulatan undang-undang merupakan sebahagian daripada agenda untuk memastikan Malaysia berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari aspek integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles