Bajet KKDW Berulang Kali Defisit, Mahathir Desak Zahid Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR: Penjelasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bahawa tiada perbelanjaan dibuat melebihi peruntukan yang diluluskan masih belum menjawab persoalan teras mengenai ketidakcukupan bajet asal yang berlaku secara berulang setiap tahun.

Bekas Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais menegaskan, isu utama yang dibangkitkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bukan sekadar sama ada perbelanjaan itu mendapat kelulusan sah, tetapi mengapa peruntukan asal bagi projek jalan luar bandar sentiasa berulang kali tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sebenar.

Beliau yang juga ahli PKR berkata seminggu selepas isu kelewatan bayaran kepada kontraktor luar bandar mencetuskan perdebatan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan bahawa kementeriannya tidak berbelanja secara haram atau sesuka hati tanpa kelulusan kerajaan.

“Betul, sesebuah kementerian tidak boleh sesuka hati menggunakan wang awam tanpa kelulusan. Tetapi itu masih belum menjawab persoalan utama yang dibangkitkan Kementerian Kewangan. Kenapa peruntukan asal projek jalan luar bandar berulang kali tidak cukup untuk menampung perbelanjaan sebenar?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai angka perbelanjaan tersebut, Dr Mahathir memperincikan bahawa pada tahun 2023, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan tetapi perbelanjaan sebenar mencecah RM1.8 bilion.

Jelasnya, fenomena ini berterusan pada 2024 apabila RM1.3 bilion diperuntukkan namun RM2 bilion dibelanjakan, manakala bagi tahun 2025, RM1.6 bilion diluluskan tetapi perbelanjaan mencapai RM2.3 bilion.

“Bagi 2026 pula, Parlimen meluluskan RM2.1 bilion dan sehingga Jun sahaja, kira-kira RM1.9 bilion sudah digunakan. Lebih 90 peratus daripada peruntukan setahun habis dalam tempoh enam bulan sahaja.

“MOF juga menyatakan bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW dan wang yang diluluskan telah disalurkan sepenuhnya,” jelas beliau.

Beliau mengakui peruntukan tambahan, komitmen awal, serta projek tertangguh akibat pandemik Covid-19 boleh menyebabkan perbelanjaan sebenar melebihi julat asal, dan kontraktor yang menyiapkan kerja secara sah memang wajib dibayar.

“Tetapi masalahnya bukan berlaku sekali. Ia berlaku pada 2023, 2024 dan 2025 dengan jurang sekitar RM700 juta setiap tahun.

“Kalau komitmen lama ini memang diketahui sejak awal, kenapa jurang antara bajet asal dengan perbelanjaan sebenar terus berulang?” soal beliau.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa Ahmad Zahid untuk tampil menjelaskan secara terperinci pecahan lebihan perbelanjaan tersebut, berapa banyak yang berpunca daripada kontrak lama, berapa banyak daripada komitmen baharu, bilakah ia diluluskan, dan mengapa bajet asal sentiasa disusun jauh lebih rendah daripada kebiasaan.

Beliau turut menyentuh langkah MOF meluluskan tambahan RM300 juta bagi tahun 2026 untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kontraktor, di mana penjimatan sedang dikenal pasti daripada kementerian lain untuk menampung lebihan komitmen KKDW.

“Ini bermakna kesannya tidak lagi terhad kepada KKDW sahaja. Walaupun tiada bukti peruntukan kesihatan atau pendidikan dipotong, rakyat berhak tahu dari mana penjimatan itu diambil jika kementerian lain perlu memberi ruang kepada komitmen KKDW. Kerajaan perlu berterus terang jika ada projek lain yang ditangguhkan,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa hak kontraktor untuk menerima bayaran dan keperluan penduduk luar bandar tidak wajar dijadikan alasan untuk mengelak daripada mempersoalkan kelemahan perancangan kewangan kementerian.

“Kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO tidak sepatutnya mengurangkan tahap semakan terhadap kementeriannya. Disiplin fiskal tidak boleh ketat kepada sesetengah kementerian tetapi lebih longgar apabila melibatkan kementerian yang dipimpin tokoh politik lebih besar,” bidas beliau.

Beliau turut melayangkan persoalan kepada MOF supaya menjelaskan mengapa peruntukan tahunan terus diluluskan pada kadar yang rendah jika tuntutan kewangan tersebut sudah dijangkakan awal.

“Pembangunan luar bandar mesti diteruskan dan kontraktor mesti dibayar. Namun, RM300 juta tambahan tidak menyelesaikan punca masalah jika kaedah merancang projek tidak berubah. Wang kerajaan ialah wang rakyat; selepas tiga tahun dengan corak yang sama, jawapan tidak boleh sekadar bahawa semuanya telah diluluskan,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles