Format Catur Berpasukan Jadi Tarikan Baharu Dalam Kalangan Anak Muda

SHAH ALAM: Sukan catur semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda di negara ini apabila format pertandingan berpasukan dilihat menjadi antara tarikan utama yang menghidupkan kembali minat terhadap permainan berstrategi itu.

Presiden Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, peningkatan penyertaan dalam kejohanan catur berpasukan peringkat kebangsaan membuktikan perkembangan positif ekosistem sukan tersebut, khususnya dalam kalangan pemain muda.

Menurut beliau, sebanyak 68 pasukan menyertai edisi kali ini, dengan format empat pemain dan satu simpanan bagi setiap pasukan, sekali gus menunjukkan peningkatan minat terhadap pertandingan berasaskan pasukan berbanding individu semata-mata.

“Walaupun kita jangka sekitar 60 pasukan, tetapi akhirnya meningkat kepada 68 pasukan. Sambutan catur sekarang begitu rancak, dengan banyak aktiviti di peringkat negeri dan kelab,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Catur Berpasukan Peringkat Kebangsaan 3rd National Open Team Chess Championship 2026 – PMX Trophy, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Akhramsyah berkata, kejohanan berpasukan bukan sesuatu yang asing dalam dunia catur antarabangsa kerana ia turut menjadi format utama dalam kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan SEA serta pelbagai pertandingan peringkat antara negeri dan kelab.

Tambah beliau, perkembangan format berpasukan turut membuka ruang lebih luas kepada pemain muda untuk membina pengalaman dalam suasana kompetitif yang lebih dinamik dan berpasukan.

“Bila kita lihat ekosistem sekarang, sudah ada pasukan negeri, pasukan kelab, malah pasukan yang dibentuk melalui tajaan syarikat. Ini perkembangan sihat untuk catur negara,” katanya.

Akhramsyah berkata, penganjuran di Selangor juga selari dengan usaha memperkukuh sukan catur menjelang penganjuran SUKMA, selain menjadi isyarat kepada negeri-negeri lain yang bakal menjadi tuan rumah pada masa hadapan untuk turut membawa lebih banyak kejohanan catur peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha menarik minat generasi muda terhadap catur perlu bermula dari peringkat keluarga, khususnya melalui galakan ibu bapa.

Katanya, pendekatan negara maju seperti Rusia, Armenia dan Azerbaijan yang memasukkan catur dalam sistem pendidikan sekolah wajar dijadikan rujukan, selain program Chess Education oleh Persekutuan Catur Dunia (FIDE) yang menekankan pembangunan kemahiran berfikir.

“Catur ini bantu dalam aspek membuat keputusan, pemikiran logik dan matematik. Kajian juga menunjukkan pemain muda boleh meningkat prestasi akademik jika aktif bermain catur,” katanya.

Akhramsyah turut menjelaskan bahawa sistem rating MCF dan FIDE menjadi antara faktor yang mendorong minat pemain untuk terus aktif kerana setiap perlawanan memberi impak kepada penilaian prestasi mereka.

“Walaupun tidak menang kejohanan, jika bermain dengan baik, rating tetap boleh meningkat. Itu yang membuatkan pemain terus berminat,” katanya.

Menariknya, beliau berkata kejohanan kali ini turut menyaksikan penyertaan pemain berusia sehingga 78 tahun, membuktikan bahawa catur merupakan sukan sepanjang hayat yang boleh dimainkan tanpa mengira usia.

“Yang muda ada, yang tua pun ada. Itulah keunikan catur,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles