Program Matrikulasi Di Bawah Bidang Kuasa KPM, Tegur Kenyataan ADUN Kota Kemuning

PUTRAJAYA, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa Program Matrikulasi berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus menolak dakwaan yang mengaitkan kementerian itu dengan urusan pengambilan pelajar ke program berkenaan.

KPT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berhubung isu kemasukan seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Program Matrikulasi.

Menurut kementerian itu, kenyataan berkenaan mengandungi kekeliruan fakta apabila KPT dipersalahkan dalam isu yang sebenarnya berada di bawah tanggungjawab KPM melalui Bahagian Matrikulasi.

“KPT tidak terlibat dalam proses pemilihan, penawaran tempat, rayuan mahupun pengurusan kemasukan ke Program Matrikulasi,” menurut kenyataan itu.

KPT menjelaskan bahawa segala dasar pengambilan dan pengurusan kemasukan ke Program Matrikulasi dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi KPM, justeru sebarang isu berkaitan program tersebut perlu dirujuk kepada kementerian yang berkenaan.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menyifatkan tindakan mengaitkan KPT serta mendesak Menteri Pendidikan Tinggi campur tangan dalam urusan yang bukan di bawah bidang kuasanya sebagai tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.

KPT turut melahirkan kekesalan apabila isu melibatkan masa depan pelajar digunakan tanpa semakan fakta yang menyeluruh terlebih dahulu sehingga menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap kementerian itu.

Sebelum ini, Preakas dilaporkan meminta penjelasan KPT susulan dakwaan seorang pelajar yang memperoleh keputusan 11A dalam peperiksaan SPM gagal mendapat tempat dalam Program Matrikulasi.

Bagaimanapun, laporan susulan menyebut pelajar terbabit sebenarnya telah menerima tawaran melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Selangor selain memperoleh biasiswa Petronas selepas semakan lanjut dibuat.

KPT menasihatkan semua pihak agar mendapatkan maklumat yang tepat serta memahami bidang kuasa setiap kementerian sebelum mengeluarkan kenyataan awam bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles