KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak ketika mengenang Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang helikopter yang maut dalam nahas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak, semalam.
Bagi Anwar, Allahyarham bukan sekadar seorang juruterbang, malah sahabat yang pernah banyak membantu pergerakannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi perbualan telefon bersama bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad, hari ini, Anwar menyifatkan Zainol Afiq sebagai seorang yang sopan dan sentiasa menjaga adab ketika menjalankan tugas.
“Dia seorang yang sopan, salam ketika saya naik, salam ketika turun helikopter. Doa bersama,” katanya dalam perbualan yang dikongsikan menerusi Facebook beliau.
Anwar turut mengakui amat terkesan apabila bapanya menunjukkan gambar Allahyarham ketika sedang menerbangkan helikopter yang membawa beliau sewaktu kempen PRU15.
“Ketika mengimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu, ia menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam.
“Teruji dengan kehilangan yang amat berat, lebih-lebih lagi buat keluarga dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Dalam perbualan itu, Bee Sham memaklumkan keluarga berhasrat membawa jenazah Zainol Afiq pulang ke Negeri Sembilan.
Anwar kemudian memberi jaminan bahawa kerajaan akan membantu urusan berkenaan selain memastikan kebajikan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain mendapat perhatian sewajarnya.
“Saya berdoa agar Allah mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga Allahyarham untuk terus melangkah menghadapi hari-hari mendatang.
“Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaan sewajarnya,” katanya.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zainol Afiq dan semua keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Beliau mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa mangsa, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka serta menempatkan mereka dalam kalangan para syuhada.
“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara,” katanya.
Semalam, sebuah helikopter FDS milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kejadian itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang semalam.










