​’Macam Mana Dipaksa Sampai Terpaksa’ – Che’gu Bard Sindir MB N.Sembilan

​SEREMBAN: Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara (Wawasan) bagi PRN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin menyindir kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang mendakwa dipaksa menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi.

Beliau yang dikenali sebagai ​Che’gu Bard mempersoalkan tindakan Ismail yang didakwa membuat pengakuan berkenaan selepas dokumen tersebut ditandatangani.

​”Dipaksa… Macam mana dipaksa sampai terpaksa tu. Lepas sebulan baru sedar dipaksa hingga terpaksa,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

​Che’gu Bard turut membandingkan Ismail dengan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.

​”Setakat ini Dato’ Ismail Bin Lasim lebih lucu dari Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun.

​”Nak berkuasa tunggang semua tok-tok adat… Dapat kuasa turun tandatangan tapi lepas tu buat lawak kena paksa.

“Jangan sampai video menipu dipaksa sehingga terpaksa pula keluar,” katanya.

​Beliau turut menggelarkan situasi berkenaan sebagai amalan ‘3T’.

​”Ni namanya (3T) tunggang tonggeng tinggal…” ujarnya.

​Terdahulu, Kerajaan Negeri Sembilan mengesahkan bahawa dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular baru-baru ini telah ditandatangani oleh Ismail secara paksaan dan tanpa rela hati.

​Ismail dalam kenyataan media pada Rabu memaklumkan bahawa beliau telah tampil membuat laporan polis pada jam 6 petang, 8 September lalu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa.

​”Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi (‘Surat Cara tersebut’) yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress),” katanya.

​Mengulas lanjut, Ismail menegaskan bahawa Kerajaan Negeri berpendirian dokumen berkenaan tidak memenuhi proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

​Oleh yang demikian, beliau menjelaskan dokumen itu adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

​Dalam pada itu, Ismail memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 8 September 2026 turut membincangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai bagi mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.

​”Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.

​”Ia serta perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara,” katanya.

​Tegas Ismail lagi, beliau menzahirkan sokongan penuh serta ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.

BBerkaitan

Latest articles