PADANG BESAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Izizam Ibrahim memberi tempoh sehingga Isnin ini kepada mana-mana pihak untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan 14 cawangan Bersatu Bahagian Padang Besar meletak jawatan dan keluar parti.
Izizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis menegaskan, setakat ini pihak jawatankuasa bahagian tidak menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai dakwaan penutupan cawangan berkenaan.
Beliau menyifatkan tindakan keluar parti itu dari sudut positif, selain menganggapnya sebagai peluang untuk menjalankan proses pembersihan dalam pimpinan dan keahlian parti.
“Bagi saya benda itu positif sebab benda hitam keluar, senang saya nak buat pembersihan.
“Apabila tidak dapat bekerjasama dalam satu rumah, akan berlaku sabotaj. Bagi saya, siapa nak keluar, keluarlah. Sebagai pejuang parti, biar tinggal berapa kerat pun kami tetap akan berjuang,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan penutupan 14 cawangan itu, Izizam menjelaskan semakan pihak bahagian setakat ini mendapati dakwaan berkenaan mengandungi pelbagai maklumat yang tidak tepat.
“Kami sudah buat semakan dan kami sendiri tidak tahu cawangan mana satu yang dimaksudkan. Malah dakwaan ada pimpinan yang mengaku sebagai Pemangku Srikandi Bahagian juga tidak betul kerana Ketua Srikandi Bahagian masih dipegang oleh Azura Adnan.
“Saya bagi masa sehingga hari Isnin ini untuk pihak terbabit mengemukakan senarai nama dan bukti cawangan yang tutup. Jika tiada bukti dikemukakan, itu jelas satu fitnah untuk memburukkan nama saya, Tan Sri Presiden dan parti,” katanya.
Izizam menambah, sekiranya tiada sebarang bukti dikemukakan selepas tempoh berkenaan, satu Jawatankuasa Siasatan yang dianggotai Ketua-ketua Cawangan akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut di peringkat cawangan.
Beliau turut mengingatkan bahawa mengikut Perlembagaan Bersatu, sesebuah bahagian parti tidak akan terbubar secara automatik walaupun ada jawatankuasa yang meletakkan jawatan, sebaliknya pimpinan penaja baharu akan dilantik.
Dalam masa sama, Izizam menggesa pimpinan terbabit agar berhati-hati dan menyemak fakta perlembagaan sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Politik ini dinamik, tetapi sebagai pejuang kita mesti ada pendirian. Saya sendiri tetap berpegang teguh dengan Bersatu dan bersedia untuk berkhidmat sehingga habis penggal,” tegasnya.










