KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa beliau menerima surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini tiada sebarang surat berhubung perkara itu diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkenaan.
“Surat apa? Letak jawatan? Tak ada,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, hari ini.
Penafian itu dibuat ketika spekulasi mengenai kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan semakin hangat diperkatakan.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Ismail telah mengemukakan surat peletakan jawatan susulan kontroversi berkaitan dakwaan pengisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sumber mendakwa surat berkenaan diserahkan oleh Ismail pada hari ini.










