KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Akmal Saleh membidas kenyataan Pemuda DAP yang mendakwa Umno tidak mengenang jasa Pakatan Harapan (PH), sambil menegaskan pembentukan kerajaan selepas PRU15 turut bergantung kepada sokongan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, tuduhan kononnya Umno “kacang lupakan kulit” tidak wajar dibangkitkan kerana semua pihak mengetahui BN memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara selepas pilihan raya umum lalu.
“Jangan sembang soal ‘kacang lupakan kulit’. Hakikatnya kerajaan hari ini juga terbentuk kerana sokongan BN selepas PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pemuda DAP yang mengingatkan Umno agar tidak melupakan jasa PH susulan pendirian Umno Johor mahu bergerak secara solo pada pilihan raya akan datang.
Menurut Pemuda DAP, kerjasama antara PH dan BN khususnya dalam mengelakkan pertembungan sesama sendiri telah membantu Umno terus kekal relevan dalam arena politik.
Bagaimanapun, Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau menegaskan tiada sebarang perjanjian yang mewajibkan BN dan PH terus bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau turut menyifatkan Pemuda DAP tidak perlu “menggelabah” dengan keputusan Umno Johor kerana cadangan untuk bergerak solo sudah lama dibawa oleh Pemuda Umno kepada pucuk pimpinan parti.
“Cadangan ini bukan perkara baharu. Pemuda Umno sudah lama menyuarakannya dan kini kita akan mulakan di Johor. Pemimpin parti mendengar suara kami,” katanya.
Dalam masa sama, Akmal mencabar DAP menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN sekiranya benar-benar mahu menguji kekuatan politik masing-masing.
“Tarik sokongan di Perak, tarik sokongan di Pahang. Kita lawan secara gentleman dan serahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut mencabar pemimpin DAP keluar daripada kerajaan Melaka sambil mengingatkan bahawa beliau sendiri pernah menghantar surat peletakan jawatan sebelum ini.
“Sekurang-kurangnya saya berani hantar surat peletakan jawatan, bukan satu tetapi dua surat.
“Kalau benar mahu uji kekuatan, kita buka gelanggang. Bring it on,” tegasnya.
Terdahulu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengekalkan pendirian agar BN bertanding secara solo pada PRN Johor akan datang meskipun menerima kritikan daripada PH yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.










