PKR Pertimbang Saman Rafizi, Nik Nazmi Didakwa Langgar Akta Anti Lompat Parti

KUALA LUMPUR: PKR sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad susulan keputusan kedua-dua pemimpin itu keluar parti serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan berbincang dengan pasukan peguam sebelum sebarang surat saman dihantar kepada bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu.

Menurut beliau, tindakan Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkenaan dipercayai melanggar Akta Anti Lompat Parti selain masih terikat dengan bon parti bernilai RM10 juta.

Fuziah mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa Rafizi dan Nik Nazmi sudah mendaftar menyertai Parti Bersama Malaysia pada 17 Mei lalu, sehari sebelum pengumuman pengosongan kerusi Parlimen dibuat.

Katanya, tindakan itu menunjukkan kedua-dua mereka sudah terlebih dahulu menyertai parti lain sebelum kerusi dikosongkan secara rasmi, sekali gus membuka ruang kepada Akta Anti Lompat Parti untuk diguna pakai.

“Penasihat undang-undang parti akan mengkaji perkara ini sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya pada sidang media selepas Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Johor Bahru, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, PKR akan membincangkan tindakan lanjut terhadap beberapa Ahli Parlimen lain yang dilihat bersama Rafizi dan Nik Nazmi dalam satu program politik di Petaling Jaya semalam.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR selepas mengambil langkah mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing terlebih dahulu.

Kedua-dua mereka turut memaklumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia sebagai platform politik baharu.

BBerkaitan

Latest articles