KUALA LUMPUR : PASTI Negeri Melaka menafikan dakwaan bahawa seorang jurulatih bola jaring dipecat atau disiasat susulan sokongan politik yang dinyatakan secara terbuka oleh individu berkenaan di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, Pengarah PASTI Negeri Melaka, Mohd Norfaizal Nordin berkata individu terbabit sebelum ini hanya membantu sebagai jurulatih bola jaring secara sukarela bagi PASTI Kawasan Jasin dan negeri Melaka ketika musim pertandingan.
Menurut beliau, pelantikan jurulatih bagi aktiviti kokurikulum dan sukan dibuat berdasarkan bantuan khidmat masyarakat dan bukan menerusi kontrak profesional atau lantikan jangka panjang.
“Sepanjang sejarah PASTI, tidak pernah wujud sebarang kontrak bertahun-tahun bagi jawatan jurulatih sukan. Individu berkenaan sebelum ini membantu atas kesediaan beliau sendiri untuk melatih anak-anak PASTI dan kami menghargai sumbangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata PASTI Negeri Melaka merupakan institusi pendidikan yang memberi penekanan bukan sahaja kepada pendidikan agama, malah pembangunan sahsiah dan aktiviti kokurikulum termasuk sukan.
Katanya, setiap tahun PASTI Melaka turut menghantar wakil menyertai pertandingan peringkat kebangsaan bersama kontinjen PASTI seluruh negara.
Sebelum ini, TRI melaporkan Seorang wanita yang dipercayai merupakan jurulatih bola jaring bagi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mencetuskan perhatian di media sosial selepas memuat naik kenyataan terbuka menyatakan sokongan beliau terhadap UMNO.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook semalam, wanita berkenaan menegaskan bahawa walaupun beliau memakai pakaian dan menjalankan tugas di bawah PASTI, prinsip perjuangannya tetap bersama UMNO.
Walau bagaimanapun, perkembangan susulan dipercayai berlaku apabila wanita terbabit memuat naik satu lagi kenyataan menerusi platform threads yang mendakwa beliau akhirnya dipecat hari ini susulan isu berkenaan.
Dalam opada itu, Mengulas lanjut, Norfaizal berkata keputusan untuk menggunakan kapasiti dalaman sendiri bagi latihan dibuat selepas individu berkenaan secara terbuka membawa identiti politik kepartian.
“Bagi mengelakkan sebarang polemik atau persepsi politik melibatkan anak-anak PASTI, pihak kami memilih untuk menguruskan latihan menggunakan kapasiti dalaman sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan dakwaan bahawa individu berkenaan “dipecat” atau “disiasat” merupakan naratif politik yang tidak matang dan tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak.
“PASTI akan terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang politik. Fokus kami adalah pendidikan, pembinaan akhlak dan pembangunan anak-anak, bukan terjebak dalam polemik politik,” katanya.










