KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang mengaku membunuh serta membakar teman wanitanya yang sedang hamil pada 2023, sebelum menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mengambil kira usia tertuduh, Fakhrul Aiman Sajali, yang baru berusia 20 tahun ketika kejadian berlaku.
Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Ahmad Kamal Md Shahid dan Hakim Radzi Harun.
Menurut panel berkenaan, mahkamah mempertimbangkan faktor umur muda perayu selain kewujudan pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 sebelum memutuskan untuk mengetepikan hukuman gantung yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
“Mahkamah menggantikan hukuman itu dengan penjara maksimum 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan serta 12 sebatan,” kata panel berkenaan ketika prosiding rayuan.
Fakhrul Aiman diwakili barisan peguam Muhammad Nor Tamrin, Nurul Syuhada Mohd Subhi dan Nurussaadah Abdul Razak, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.
Sebelum keputusan dibuat, pihak pembelaan mengemukakan tujuh alasan rayuan termasuk faktor usia tertuduh ketika jenayah dilakukan.
Dalam hujahan bertulis, peguam bela berhujah hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi disifatkan terlalu berat memandangkan kes itu hanya melibatkan satu pertuduhan bunuh.
Mereka turut menegaskan Mahkamah Tinggi sepatutnya mempertimbangkan faktor umur tertuduh mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan, namun perkara itu didakwa tidak diberi perhatian sewajarnya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan hukuman asal adalah wajar dan menepati undang-undang, selain berhujah bahawa peruntukan seksyen tersebut tidak terpakai dalam kes berkenaan.
Pendakwaan turut merujuk kes terdahulu Public Prosecutor lwn Teh Ah Cheng yang menyatakan individu yang cukup dewasa untuk melakukan jenayah berat juga perlu menerima hukuman sewajarnya.
Mengikut pertuduhan, Fakhrul Aiman yang kini berusia 22 tahun didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab antara jam 8.30 malam pada 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023 di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Sabak Bernam.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Norliza Othman menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai kejam dan dirancang, selain menegaskan bukan sahaja mangsa terbunuh, malah bayi dalam kandungan berusia 18 minggu turut menjadi korban.










