Dakwaan Terhadap Sahabat Nabi Bukan Isu Khilaf Muktabar – Dr Rozaimi

KUALA LUMPUR, — Pendakwah dan penceramah agama, Dr Rozaimi Ramle berpandangan isu melibatkan dakwaan terhadap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar tidak boleh dianggap sebagai khilaf muktabar sehingga membolehkan kaedah “keluar daripada khilaf” digunakan dalam mempertahankan kenyataan kontroversi tersebut.

Beliau berkata, jangkaan bahawa polemik berhubung dakwaan terhadap Saidina Abu Bakar sebagai “bapak ceti” dan Saidina Umar sebagai “orang yang hobinya zina” telah selesai selepas permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, bagaimanapun meleset selepas membaca penjelasan dikemukakan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Dr Rozaimi yang juga Naib Canselor UniSIRAJ itu, , kaedah fiqh yang dibawa iaitu “al-khuruj minal khilaf mustahabb” atau “keluar daripada khilaf adalah digalakkan” tidak sesuai digunakan dalam konteks berkenaan.
“Kaedah ini digunakan untuk isu khilaf muktabar yang mempunyai dalil atau kaedah pendalilan yang diterima pakai menurut ilmu usul fiqh,” katanya menerusi kenyataan di lama facebooknya hari ini.

Beliau kemudian memberikan contoh perbezaan pandangan ulama berkaitan kadar minimum menyapu kepala ketika berwuduk yang melibatkan pandangan mazhab Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi sebagai bentuk khilaf muktabar yang diterima dalam disiplin ilmu fiqh.

Katanya, dalam situasi tersebut, seseorang digalakkan mengambil pandangan yang lebih menyeluruh seperti menyapu keseluruhan kepala bagi keluar daripada khilaf kerana semua mazhab menerima wuduk itu sebagai sah.

Namun, beliau menegaskan dakwaan terhadap kedua-dua sahabat Nabi Muhammad SAW itu bukan termasuk dalam kategori khilaf muktabar kerana tidak bersandarkan dalil atau riwayat yang sahih dan diterima.

“Justeru, nasihat saya elakkan menyalahguna kaedah. Jangan tampal kaedah bukan pada tempatnya.

“Ikutlah disiplin ilmu yang benar. Jangan anggap semua polemik adalah ‘khilaf’ lalu boleh untuk terima atau tolak sesuka hati,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles