KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dipercayai merupakan jurulatih bola jaring bagi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mencetuskan perhatian di media sosial selepas memuat naik kenyataan terbuka menyatakan sokongan beliau terhadap UMNO.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook semalam, wanita berkenaan menegaskan bahawa walaupun beliau memakai pakaian dan menjalankan tugas di bawah PASTI, prinsip perjuangannya tetap bersama UMNO.
“Baju boleh berbeza, tugas boleh berubah… tapi prinsip perjuangan tetap sama.
“Saya tetap berdiri teguh bersama UMNO, demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Beliau turut menyatakan dirinya kekal profesional dalam menjalankan tugas, namun tidak menyembunyikan pendirian politiknya.
“Profesional dalam tugas, teguh dalam perjuangan.
“Walau memakai pakaian PASTI, jiwa saya tetap bersama UMNO,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, perkembangan susulan dipercayai berlaku apabila wanita terbabit memuat naik satu lagi kenyataan menerusi platform threads yang mendakwa beliau akhirnya dipecat hari ini susulan isu berkenaan.
Perkembangan itu mula mendapat perhatian netizen dan mencetuskan pelbagai reaksi berhubung soal kebebasan pandangan politik, profesionalisme di tempat kerja serta sensitiviti membabitkan institusi pendidikan yang dikaitkan dengan parti politik.
https://www.threads.com/@mdee_biz/post/DYTzbnWAcLR?xmt=AQG0rrPqZk_S-GjieFVzBSfX7nacRZjfqonuUbEXOKF-UA
Salah satu komen yang mendapat perhatian menerusi hantaran tersebut dibuat oleh pengguna dikenali sebagai “zelozyxw” yang menulis:
“See? pihak PAS pun tak senang dgn tindakan awak. Dah la sis move on je fokus je kepada perjuangan hakiki sebagai UMNO.Ada tu rezeki lain yang lebih baik untuk awak nanti, insya-Allah.
Diorg tak nak ada elemen parti lain dalam aset kepentingan politik diorg.”
Sehingga artikel ini ditulis, hantaran wanita berkenaan di platform Threads itu telah menerima lebih 150 tanda suka, 44 komen dan sembilan ulang siar.
Setakat ini, belum terdapat sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan PASTI mahupun PAS berhubung dakwaan pemecatan tersebut.










