SEREMBAN,— Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hari ini menggesa pemimpin UMNO Negeri Sembilan memohon ampun susulan dakwaan mengaitkan institusi diraja dalam program politik semasa Konvensyen 80 Tahun UMNO pada 2 Mei lepas. 
Pengerusi Sekretariatnya Dato’ Seri Megat D Shahriman bin Dato’ Zaharudin berkata tindakan berkenaan bertentangan dengan semangat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta prinsip taat setia kepada institusi diraja. 
Kenyataan itu turut mendakwa pimpinan UMNO Negeri Sembilan dan beberapa pemimpin pusat yang hadir pada program berkenaan sehingga kini tidak memohon ampun atau menegur tindakan terbabit. 
Sekretariat berkenaan turut menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya menilai kepimpinan wakil rakyat UMNO pada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri akan datang. 
Selain itu, sekretariat tersebut memaklumkan pihaknya akan menggerakkan kempen dikenali sebagai “Gelombang Tolak Penderhaka UMNO” di seluruh 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan. 
Semalam Mahkamah Tinggi Seremban mengarahkan dua defendan dalam saman pemula yang difailkan Undang Yang Empat bersama dua yang lain supaya mengemukakan bantahan rasmi berkaitan bidang kuasa mahkamah untuk mendengar saman itu.
Ia berkaitan penggantungan pelaksanaan penguatkuasaan keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) pada 17 April lalu.
Hakim, Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal daripada defendan pertama, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua iaitu DKU sendiri pada prosiding pendengaran kali pertama, hari ini.
Terdahulu, kedua-dua defendan yang diwakili Peguam Steven Thiru membangkitkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan itu mengikut Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mereka berhujah, berdasarkan peruntukan dalam seksyen itu, mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan saman pemula berkenaan.
Beliau berkata, merujuk Perkara 16(3), DKU adalah badan tertinggi bertanggungjawab mengurus hal ehwal adat istiadat.
Justeru ujarnya, pihaknya akan memfailkan afidavit sokongan kepada mahkamah dan ia akan didengar secara lisan pada 28 Julai depan.










