GOMBAK, Medan selera popular di Jalan Gombak, Lepaking Six7 kini tampil dengan wajah baharu menerusi konsep lebih moden dan mesra keluarga selepas pembukaan semulanya yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, ,malam tadi.
Pembukaan semula itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan Lepaking Six7 sebagai antara destinasi makanan popular di sekitar Gombak dan Lembah Klang dengan menawarkan suasana santai, selesa dan sesuai untuk seisi keluarga.
Pengurus Lepaking Six7, Ameerul Ikhwan Fozee berkata penjenamaan semula itu dilakukan bagi memberi fokus kepada konsep “family dining” dengan menyediakan suasana lebih kondusif kepada pelanggan yang hadir bersama keluarga.
“Lepaking merupakan satu jenama yang telah dikenali sejak lebih 10 tahun lalu dan kini kami melakukan penjenamaan semula kepada Lepaking Six7 dengan memberi fokus kepada konsep kekeluargaan.
“Kami mahu pelanggan datang bersama keluarga menikmati suasana baharu dan hidangan yang disediakan oleh peniaga di sini,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan semula premis itu.
Menurut beliau, Lepaking Six7 menawarkan lebih 400 pilihan menu menerusi 19 gerai makanan yang menyediakan pelbagai jenis hidangan termasuk masakan tempatan dan antarabangsa.
“Keistimewaan di sini adalah kepelbagaian menu kerana setiap gerai menawarkan hidangan berbeza. Ia memudahkan keluarga memilih makanan mengikut citarasa masing-masing,” katanya.
Selain itu, katanya Lepaking Six7 turut menyediakan bilik permainan kanak-kanak bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa ketika menikmati hidangan.
“Kanak-kanak biasanya lebih tertarik dengan bilik permainan dan secara tidak langsung ia membantu ibu bapa menikmati suasana makan dengan lebih santai,” katanya.
Premis berkonsepkan terbuka menggunakan kontena itu turut dilengkapi ruang berhawa dingin berkapasiti sehingga 120 orang, surau lelaki dan wanita serta kawasan parkir yang luas bagi kemudahan pengunjung.
Menurut pihak pengurusan, penjenamaan semula Lepaking Six7 turut memberi impak positif kepada ekonomi komuniti setempat menerusi peluang pendapatan kepada usahawan makanan dan pembukaan lebih 30 peluang pekerjaan.
Terletak kira-kira 15 minit dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, Lepaking Six7 beroperasi dari jam 5 petang hingga 2 pagi pada Isnin hingga Khamis, manakala sehingga 3 pagi pada hujung minggu.










