UMNO N. Sembilan Mohon Menghadap Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR: UMNO Negeri Sembilan mengambil langkah rasmi dengan memohon perkenan untuk menghadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan tindakan parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan bahawa permohonan tersebut bertujuan menyampaikan pendirian rasmi parti berhubung perubahan landskap politik yang kini melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya masih belum menerima titah untuk menghadap, namun menegaskan kesediaan untuk hadir pada bila-bila masa sekiranya dipanggil.

“Kita telah memohon menghadap Tuanku bagi memaklumkan secara rasmi penarikan sokongan terhadap Menteri Besar. Setakat ini belum ada panggilan, tetapi kita bersedia pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jalaluddin yang juga ADUN Pertang menjelaskan, kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berpaksikan beberapa prinsip penting yang tidak boleh dikompromi, termasuk isu melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Tegasnya, tindakan yang diambil ketika ini adalah bagi mempertahankan prinsip parti, khususnya dalam menangani isu berkait institusi adat dan undang yang menjadi perhatian umum.

Beliau turut mengakui situasi seumpama itu pernah berlaku sebelum ini, namun berjaya diselesaikan secara tertutup tanpa mencetuskan polemik terbuka.

“Sepatutnya perkara ini ditangani lebih awal agar tidak berlarutan hingga menjadi perdebatan terbuka di media sosial. Apabila ia berpanjangan, pelbagai tafsiran muncul dan ini boleh menjejaskan reputasi kerajaan negeri serta institusi adat diraja,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin memaklumkan semua Exco Barisan Nasional (BN) telah diarahkan untuk memulangkan aset rasmi termasuk kenderaan kerajaan serta mengosongkan pejabat masing-masing bermula semalam.

Terdahulu, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Aminuddin sebelum ini menyatakan beliau telah menerima titah daripada Tuanku Muhriz untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sehingga keadaan menjadi jelas.

BBerkaitan

Latest articles