MCA Selangor kecam penghinaan terhadap Sultan Selangor, gesa tindakan tegas

SHAH ALAM, – MCA Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa memuat naik kandungan berunsur penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Pengerusi MCA Selangor, Lawrence Low, berkata pihaknya menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas peranan Baginda dalam mempertahankan hak serta kepentingan rakyat negeri itu, dan memandang serius sebarang perbuatan yang memperlekehkan institusi diraja.

Menurut beliau, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja menghina institusi Diraja Selangor, malah berpotensi menjejaskan perpaduan, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk, khususnya di negeri ini.

“Perbuatan ini jelas bercanggah dengan prinsip Rukun Negara, terutamanya Kesetiaan kepada Raja dan Negara, serta tidak mencerminkan nilai murni yang sepatutnya dipupuk dalam kalangan rakyat sejak kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa menyiasat dan mendakwa individu terlibat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahnya, MCA Selangor menegaskan bahawa institusi diraja tidak boleh diperlekehkan oleh mana-mana pihak dan komited untuk terus mempertahankan kemuliaan serta kedaulatan institusi tersebut.

BBerkaitan

Latest articles