BENUT: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, memilih untuk tidak mendahului sebarang keputusan berhubung permohonannya menyertai semula parti itu, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan.
Menurutnya, surat rasmi permohonan sudah dihantar pada 16 Mac lalu, namun beliau mengakui tidak mengetahui sama ada ia akan diterima atau ditolak.
“Surat sudah dihantar, tetapi keputusan sama ada diterima sepenuhnya atau tidak, itu di tangan kepimpinan UMNO,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Datuk Mohd Sumali Reduan di Benut, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk On Hafiz Ghazi serta Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sementara itu, perkembangan berkaitan permohonan beberapa bekas pemimpin UMNO dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada 17 April ini.
Sebelum ini Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan permohonan melibatkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy dan beberapa tokoh lain akan diteliti dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya, perbincangan akan dibuat berlandaskan semangat “Rumah Bangsa”, namun keputusan muktamad sama ada permohonan tersebut diluluskan mungkin tidak diputuskan serta-merta.
Untuk rekod, beberapa pemimpin termasuk Hishammuddin, Shahril Sufian Hamdan, Mohd Salim Sharif dan Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.
Dalam masa sama, Khairy bersama Tan Sri Noh Omar pula dipecat daripada UMNO susulan pelanggaran disiplin ketika Pilihan Raya Umum ke-15.
Keputusan penggantungan dan pemecatan tersebut dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.










