Keputusan MIC untuk Kekal Dalam BN Cerminkan Kesetiaan dan kematangan politik – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, Keputusan Malaysian Indian Congress (MIC) untuk terus kekal dalam Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai manifestasi kesetiaan dan kematangan politik dalam landskap semasa negara.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, keputusan yang dicapai oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu bukan sekadar pendirian politik semasa, tetapi mencerminkan akar sejarah serta semangat perjuangan yang telah lama terbina sejak era Perikatan sehingga pembentukan BN. 

Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, gabungan itu telah melalui pelbagai cabaran termasuk isu perkauman, tekanan politik dan perubahan landskap nasional, namun kekal bertahan berasaskan kepercayaan, kesetiaan serta tanggungjawab bersama. 

“Dalam keadaan politik yang semakin berpecah dan tidak menentu, rakyat memerlukan satu platform yang stabil dan berpengalaman. BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Zambry turut menegaskan bahawa kekuatan muafakat pelbagai kaum yang menjadi teras BN merupakan model kerjasama yang telah diuji masa, sekali gus penting dalam memastikan keharmonian sosial negara terus terpelihara. 

Beliau berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, BN kini sedang melalui proses penstrukturan semula bagi memperkukuh organisasi serta memperbaharui pendekatan agar lebih responsif terhadap kehendak rakyat masa kini. 

Dalam masa sama, keputusan MIC itu juga dilihat sebagai isyarat jelas menolak politik perpecahan, dengan menegaskan bahawa prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh dikorbankan demi kepentingan jangka pendek. 

“Usaha memperkemaskan BN akan terus dipergiatkan. Selagi semangat kesatuan ini dipertahankan dengan jujur dan ikhlas, sebarang cubaan untuk melemahkan gabungan ini dapat ditangani dengan bijaksana,” katanya. 

Tambah beliau, keputusan tersebut bukan hanya berkaitan situasi semasa, tetapi juga mencerminkan hala tuju masa depan politik negara yang berteraskan kesatuan, kesederhanaan dan tanggungjawab dalam membina Malaysia yang lebih stabil dan sejahtera. 

BBerkaitan

Latest articles